BERITA TERKINI   Indeks Harga Rumah Malaysia pada separuh pertama 2026 dicatatkan pada 234.7 mata, purata harga RM506,317 seunit - Amir Hamzah | 27,832 unit kediaman baharu telah dilancar dengan prestasi jualan 16.6 peratus pada separuh pertama 2026 - Amir Hamzah | Pasaran harta tanah kekal berdaya tahan dengan 187,320 transaksi bernilai RM105.12 bilion pada separuh pertama 2026 - Amir Hamzah | Indeks Harga Rumah Malaysia pada suku pertama 2026 dicatatkan pada 234.7 mata, purata harga RM506,317 seunit - Amir Hamzah | 27,832 unit kediaman baharu telah dilancar dengan prestasi jualan 16.6 peratus pada suku pertama 2026 - Amir Hamzah | 

Kerajaan Kaji Keperluan Wujudkan Stok Simpanan Petroleum Negara - Anwar

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan mengkaji keperluan dan strategi untuk mewujudkan stok simpanan petroleum negara bagi menjamin keterjaminan tenaga serta memperkukuh daya tahan negara dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan krisis bekalan global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tenaga Negara Bilangan 1 2026 yang dipengerusikannya hari ini, antara lain bagi memastikan agenda peralihan tenaga negara terus dilaksanakan secara tersusun dan berimpak, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata setakat Disember tahun lepas, kapasiti terpasang tenaga boleh baharu (TBB) negara meningkat kepada 31 peratus, selaras dengan usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada arang batu.

Ad Banner

“Usaha ini turut diperkukuh melalui kejayaan pelaksanaan Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) yang kini dilengkapi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS),” kata Anwar.

Dalam sektor pengangkutan, Anwar berkata pelaksanaan Biodiesel B15 terus memacu negara ke arah penggunaan bahan api alternatif yang lebih mampan dan akan diperkasakan menerusi pembangunan hab biobahan api Petronas di Pengerang, Johor.

Beliau berkata projek elektrifikasi pengangkutan awam turut berjalan mengikut perancangan, termasuk pengoperasian 250 bas elektrik serta liputan 800 kilometer rangkaian rel di seluruh negara.

Ad Banner
Ad Banner

“Fasa 1 pembangunan hab hidrogen bagi sistem Transit Aliran Automatik (ART) di Sarawak pula dijadualkan siap menjelang penghujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata dalam situasi ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global yang berterusan, Malaysia perlu bersiap siaga bagi menjamin keterjaminan tenaga jangka panjang.

-- BERNAMA