Defisit Fiskal Naik Sedikit Walaupun Peruntukan Subsidi Bahan Api Ditambah - HLIB
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Malaysia dijangka kekal di landasan sasaran defisit fiskal bagi 2026 walaupun memperuntukkan tambahan RM25 bilion bagi subsidi bahan api, dengan defisit diunjurkan pada kadar 3.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Ketua Ahli Ekonomi Hong Leong Investment Bank (HLIB) Felicia Ling berkata angka itu mencatatkan sedikit peningkatan berbanding sasaran asal kerajaan iaitu 3.5 peratus.
Beliau berkata demikian dalam taklimat ekonomi secara maya yang dianjurkan oleh Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW) Malaysia di sini hari ini.
Menurut Ling, unjuran defisit fiskal itu melambangkan kemampuan kerajaan untuk menampung perbelanjaan subsidi yang meningkat menerusi kutipan hasil yang kukuh, penyusunan semula keutamaan perbelanjaan serta pendapatan dividen tanpa bergantung kepada pinjaman yang lebih tinggi.
Beliau berkata keadaan itu susulan keputusan kerajaan untuk menambah peruntukan subsidi bahan api tahun ini sebanyak RM25 bilion, bersamaan 1.2 peratus daripada KDNK bagi mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM25 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan subsidi bahan api bagi 2026 meningkat kepada RM40 bilion bagi mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter.
HLIB menjangka peningkatan defisit yang kecil memandangkan perbelanjaan subsidi termasuk dalam perbelanjaan mengurus, yang menurut undang-undang, perlu dibiayai melalui hasil kerajaan dan bukannya hutang tambahan, kata Ling.
"Ini bermakna kerajaan perlu sama ada meningkatkan hasil atau mengurangkan perbelanjaan mengurus lain bagi menampung peningkatan bil subsidi dan pada masa sama mengekalkan disiplin fiskal," menurutnya.
Antara faktor yang menyokong prospek fiskal adalah program penerbitan bon kerajaan yang secara umumnya tidak berubah berbanding perancangan asal, menunjukkan tiada tanda-tanda terhadap keperluan pinjaman yang lebih tinggi walaupun terdapat perbelanjaan subsidi tambahan.
Menurut Ling, bagi separuh pertama setiap tahun, kerajaan telah menerbitkan kira-kira 50 hingga 55 peratus daripada keseluruhan bon kerajaan, yang menjadi trend yang dapat dilihat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
“Pada tahun ini, kita mendapati kerajaan telah menerbitkan kira-kira 50 peratus daripada jumlah asal penerbitan bon kerajaan. Ini menunjukkan kerajaan tidak mengunjurkan defisit fiskal yang tinggi sehingga memerlukan penerbitan bon yang lebih besar," katanya.
Menurutnya HLIB menganggarkan kira-kira RM11 bilion daripada keperluan tambahan subsidi itu boleh dibiayai melalui peningkatan hasil kerajaan.
Selain itu, kira-kira RM5 bilion boleh diperoleh daripada penjimatan perbelanjaan mengurus dan RM5 bilion lagi daripada pendapatan dividen.
Menurut Ling, kerajaan tidak memperkenalkan mekanisme pembiayaan khas seperti Dana COVID-19 yang sebelum ini membolehkan perbelanjaan dibuat di luar kerangka fiskal tahunan.
"Ketiadaan mekanisme yang sama menunjukkan kerajaan berhasrat menguruskan tambahan perbelanjaan subsidi dalam kerangka fiskal sedia ada dan pada masa sama mengekalkan defisit hampir kepada sasaran asal," katanya.
Beliau berkata peruntukan asal kerajaan sebanyak RM15 bilion bagi subsidi bahan api tahun ini telah habis digunakan dalam tempoh lima bulan pertama, sebahagian besarnya disebabkan peningkatan harga minyak mentah global susulan konflik di Asia Barat.
-- BERNAMA