BERITA TERKINI   Timbalan Ketua Perangkawan (Program Ekonomi) DOSM Siti Asiah Ahmad dilantik Ketua Perangkawan berkuat kuasa hari ini - Kementerian Ekonomi | Dewan Rakyat lulus RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026 | Dewan Rakyat lulus RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 | 

HLIB Naikkan Unjuran KDNK 2026 Malaysia Kepada 4.7 Peratus, Disokong Eksport E&E Kukuh

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Jangkaan lebih kukuh bagi eksport elektrik dan elektronik (E&E) dan permintaan semikonduktor global yang memberangsangkan mendorong Hong Leong Investment Bank (HLIB) menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 Malaysia.

HLIB menaikkan prospek pertumbuhan ekonomi negara kepada 4.7 peratus daripada 4.5 peratus sebelum ini.

Bagaimanapun, bank pelaburan itu menjangkakan pertumbuhan ekonomi akan menyederhana pada separuh kedua 2026.

Ad Banner

Ketua Ahli Ekonomi HLIB Felicia Ling berkata berkata pertumbuhan KDNK suku kedua 2026 dijangka melebihi lima peratus, menjadikan pertumbuhan separuh pertama tahun ini pada sekitar lima peratus sebelum pertumbuhan menyederhana pada separuh kedua 2026.

Semakan unjuran itu kekal dalam julat pertumbuhan rasmi kerajaan iaitu pada empat hingga lima peratus, katanya semasa taklimat ekonomi secara maya oleh Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW) Malaysia hari ini

Ling berkata sektor pembuatan kekal sebagai pemacu utama kepada unjuran yang dinaikkan itu, disokong oleh prestasi eksport lebih kukuh, terutama industri E&E, di samping daya tahan berterusan sektor perkhidmatan dan pembinaan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata sektor E&E, yang menyumbang lebih 40 peratus kepada jumlah eksport Malaysia, terus meraih manfaat daripada permintaan semikonduktor global yang kukuh, yang dipacu  infrastruktur kecerdasan buatan (AI), pusat data dan sistem pengkomputeran termaju.

Jualan semikonduktor global mencatat momentum teguh sehinggga penghujung 2025 dan berterusan pada 2026 setakat ini, menyokong eksport E&E Malaysia, katanya.

Beliau berkata organisasi Statistik Perdagangan Semikonduktor Dunia menjangkakan jualan semikonduktor global berkembang sebanyak 19 peratus tahun ini, diterajui terutama oleh cip memori, seterusnya menyediakan situasi yang menggalakkan untuk sektor pembuatan Malaysia berorientasi eksport.

“Prestasi Malaysia adalah seiring dengan pertumbuhan semikonduktor global apabila kita melihat peningkatan jualan semikonduktor global yang turut disumbangkan oleh cip memori.

“Bagaimanapun, sektor lain juga turut memacu eksport E&E iaitu penstoran data, kad pintar, kad memori, peranti komunikasi telefon dan papan litar tercetak,” katanya.

Ling berkata walaupun pertumbuhan eksport keseluruhan disokong oleh peningkatan aktiviti eksport semula dalam beberapa tahun kebelakangan ini namun, eksport domestik dan eksport semula mengukuh pada Mei, menandakan momentum eksport yang lebih luas.

“Apabila eksport domestik meningkat, ini juga akan memberikan kesan positif kepada data pengeluaran perindustrian kita dan ini juga positif bagi pertumbuhan Malaysia,” katanya.

Mengenai permintaan domestik, beliau berkata penggunaan swasta dijangka kekal berdaya tahan, didorong pertumbuhan pinjaman isi rumah yang berterusan, perbelanjaan kad kredit yang baik, pertumbuhan upah yang positif serta kadar pengangguran rendah sejak dulu pada tiga peratus.

Beliau berkata keputusan kerajaan untuk mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter dan diesel pada RM2.10 seliter akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah.

Ling berkata selain itu, aktiviti pembinaan terus mendapat manfaat daripada momentum pelaburan yang teguh, terutama projek berkaitan pusat data, walaupun pertumbuhan pelaburan dijangka menyederhana pada separuh kedua 2026 disebabkan terutama oleh kesan asas yang tinggi selepas pengembangan kukuh tahun lepas.

Beliau berkata pelaburan yang diluluskan kekal tinggi, didahului sektor perkhidmatan, dengan teknologi maklumat dan komunikasi terus membentuk sebahagian besar pelaburan baharu.

Mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), beliau berkata Bank Negara Malaysia dijangka mengekalkan kadar itu pada 2.75 peratus untuk baki tempoh 2026, memandangkan inflasi diunjurkan pada purata dua peratus, kekal dalam julat unjuran rasmi bank pusat iaitu 1.5 peratus hingga 2.5 peratus.

-- BERNAMA