BERITA TERKINI   Timbalan Ketua Perangkawan (Program Ekonomi) DOSM Siti Asiah Ahmad dilantik Ketua Perangkawan berkuat kuasa hari ini - Kementerian Ekonomi | Dewan Rakyat lulus RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026 | Dewan Rakyat lulus RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 | 

Ekonomi Dua Kelajuan Tidak Ketara Di Malaysia, Pelbagai Sektor Terus Pacu Pertumbuhan -- Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Malaysia tidak menunjukkan tanda-tanda sebagai sebuah ekonomi dua kelajuan walaupun ketidaktentuan geopolitik dan ketegangan perdagangan global semakin memuncak, dengan pertumbuhan terus disokong oleh hasil sumbangan sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan. 

Ketua Ahli Ekonomi Hong Leong Investment Bank (HLIB) Felicia Ling berkata pelbagai pemacu pertumbuhan terus menyokong kemajuan ekonomi Malaysia, dengan pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan semuanya menyumbang kepada daya tahan negara walaupun wujudnya ketidaktentuan luaran. 

“Secara jujurnya, saya berpendapat ekonomi dua kelajuan tidak begitu ketara di Malaysia. Keadaan sedemikian lebih ketara di negara lain contohnya di Korea,” katanya pada sesi soal jawab selepas taklimat ekonomi secara maya anjuran Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW) Malaysia di sini hari ini. 

Ad Banner

Ling berkata kepelbagaian profil pertumbuhan Malaysia membantu ekonomi ketika berdepan cabaran luaran, selain beberapa sektor menyumbang kepada kemajuannya, dan tidak semata-mata bergantung kepada satu industri sahaja. 

“Kami masih melihat kepelbagaian (faktor) yang menyumbang kepada pertumbuhan di Malaysia,” katanya. 

Tambah Ling, sektor pembuatan terus menerima manfaat daripada kitaran kecerdasan global (AI) global, terutamanya menerusi eksport berkaitan semikonduktor yang lebih kukuh, manakala sektor perkhidmatan kekal disokong oleh permintaan dan perbelanjaan domestik yang berdaya tahan. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata sektor perkhidmatan menyumbang lebih 50 peratus daripada keluaran ekonomi Malaysia dan kekal sebagai tonggak utama pertumbuhan selain pembuatan.

Ling juga berkata walaupun aktiviti pembinaan dijangka sederhana pada separuh kedua tahun ini, penyusutan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh kesan asas yang tinggi susulan pengembangan yang kukuh tahun lepas dan bukannya kerana momentum pelaburan yang semakin lemah. 

“Kami masih melihat pelaburan masuk, dan ia masih dilaksanakan di lapangan, baik daripada sumber asing mahupun domestik. 

“Jadi, kami masih melihat pusat data masuk, dan kami masih melihat projek awam terus dilaksanakan,” tambahnya. 

-- BERNAMA