Dewan Rakyat Lulus Usul Pindahan RM14.5 Bilion Kepada Kumpulan Wang Pembangunan
KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul memindahkan sebanyak RM14.5 bilion baki wang terimaan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 ke Kumpulan Wang Pembangunan (KWP).
Usul itu diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahaskan oleh Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata sumber dana KWP diperoleh melalui pindahan daripada Akaun Hasil Disatukan, Akaun Pinjaman Disatukan, terimaan balik pinjaman dan terimaan pelbagai untuk pembangunan.
"Secara umumnya, pindahan daripada Akaun Pinjaman Disatukan ke Kumpulan Wang Pembangunan pula terdiri daripada terimaan terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII), Bil Perbendaharaan dan pinjaman luar negeri," katanya ketika membacakan usul resolusi teknikal memindahkan sebanyak RM14.5 bilion baki wang terimaan MGII di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, menjawab soalan Ismail mengenai pecahan jumlah terkumpul MGII, Liew berkata jumlah terbitan MGII dianggarkan sebanyak RM95 bilion.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM55 bilion adalah untuk membiayai semula MGII yang matang, RM2 bilion untuk membiayai sebahagian penebusan MITB (Sekuriti jangka pendek yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia berdasarkan prinsip Syariah), manakala baki RM38 bilion untuk membiayai sebahagian defisit 2026.
"Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, jumlah terbitan kasar MGII mencatatkan sebanyak RM40 bilion. Setelah mengambil kira pembiayaan semula MGII sebanyak RM25.5 bilion, bagi tempoh sama, baki bersih jumlah terimaan dicadangkan untuk dipindahkan daripada Akaun Pinjaman Disatukan ke Akaun Wang Amanah Pembangunan adalah sebanyak RM14.5 bilion," katanya.
Beliau berkata di bawah sistem dan peruntukan undang-undang sedia ada, kerajaan hanya boleh membuat pinjaman bagi membiayai perbelanjaan pembangunan (DE), manakala perbelanjaan mengurus (OE) hanya boleh dibiayai melalui kutipan atau hasil kerajaan.
Liew turut berkata baki terbitan MGII bagi tempoh Jun hingga Disember 2026 dicadang untuk dipindahkan pada sesi mesyuarat yang akan datang.
Dalam pada itu, bagi menjawab soalan Zulkafperi mengenai kesan crowding out dalam pasaran tempatan, institusi kewangan tempatan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) akan membeli kertas hutang tersebut, Liew berkata kerajaan telah mengurangkan jumlah pinjaman baharu dari tahun ke tahun sejak beberapa tahun lepas.
Beliau berkata terbitan sekuriti kerajaan dan MGII memberi peluang kepada KWSP serta institusi kewangan lain untuk terus melabur di Malaysia bagi memperoleh pulangan, sambil menambah bahawa jika tiada peluang untuk mereka melabur di negara ini, keadaan itu juga boleh memberi kesan kepada mata wang negara.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
– BERNAMA