BERITA TERKINI   ASEAN terima kemasukan Turkiye sebagai Rakan Dialog yang baharu - Mohamad Hasan | 63,475 pasport Malaysia versi baharu dikeluarkan setakat 17 Julai - KP Imigresen | BN kekal dalam Kerajaan Perpaduan selaras resolusi PAU, semua pihak diminta hormati keputusan badan tertinggi - Ahmad Zahid | Kedudukan pasport ketiga paling berkuasa bukti keyakinan dunia terhadap Malaysia - Saifuddin Nasution | KDN sasar JIM kutip hasil lebih RM5 bilion tahun ini - Saifuddin Nasution | 

Jati Tinggi Raih Kontrak RM22.6 Juta, Buku Pesanan Cecah Rekod RM936.5 Juta

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Jati Tinggi Group Bhd (JTGB) mencatat buku pesanan tertinggi baharu sebanyak RM936.5 juta selepas anak syarikat milik penuhnya memperoleh dua kontrak berkaitan pusat data di Johor bernilai keseluruhan RM22.6 juta.

Syarikat penyedia penyelesaian kejuruteraan utiliti infrastruktur itu memaklumkan kontrak terbaharu berkenaan turut meningkatkan nilai kontrak baharu yang diperolehnya pada tahun kewangan 2026 kepada RM333.1 juta, sekali gus mengekalkan momentum pengukuhan buku pesanannya.

Kontrak pertama bernilai RM10.56 juta melibatkan pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan dua litar kabel bawah tanah 275 kilovolt (kV) bagi pencawang pusat data milik syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat, termasuk kerja pengubahsuaian peralatan sekunder berkaitan.

Ad Banner

Kontrak kedua bernilai RM12 juta pula melibatkan pembekalan, pendirian, pengujian dan pentauliahan sambungan bekalan pukal 275kV ke pusat data milik syarikat berpangkalan di Hong Kong menerusi bekalan sementara 132kV.

“Peningkatan nilai buku pesanan yang bertambah itu memberikan keterlihatan pendapatan untuk tempoh tiga tahun akan datang,” menurut JTGB dalam kenyataan.

Menurutnya, kontrak pertama dijadualkan siap dalam tempoh 300 hari dari tarikh penerimaan, manakala kontrak kedua dijangka disiapkan dalam tempoh 270 hari.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pengarah Urusan JTGB Datuk Seri Lim Yeong Seong berkata penganugerahan kontrak terbaharu itu menggariskan permintaan yang semakin meningkat terhadap infrastruktur kuasa voltan tinggi susulan perkembangan berterusan ekosistem pusat data Malaysia.

“Sebagai penyedia penyelesaian kejuruteraan utiliti infrastruktur yang lengkap, kami berupaya menawarkan penyelesaian bersepadu merangkumi talian penghantaran atas kepala, sistem kabel bawah tanah dan pencawang.

“Melangkah ke hadapan, kami kekal optimistik terhadap peluang jangka panjang hasil perkembangan berterusan pusat data serta pelaburan dalam infrastruktur kuasa Malaysia dan akan terus memburu projek berkualiti yang menyokong pertumbuhan mampan serta memberikan nilai jangka panjang kepada para pemegang saham,” katanya.

-- BERNAMA