SD Guthrie Jual Tanah Di Kuala Selangor Pada RM798.31 Juta
KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- SD Guthrie Bhd memeterai dua perjanjian jual dan beli (SPA) bersyarat untuk menjual tanah pegangan bebas di Kuala Selangor pada harga RM798.31 juta.
Tanah seluas kira-kira 1,021.93 ekar di dalam Estet Bukit Kerayong akan dijual kepada Kerayong Development (Land) Sdn Bhd (KDL) dan Kerayong Development (Ventures) Sdn Bhd (KDV).
KDL dan KDV ialah anak syarikat milik penuh Kerayong Development Consortium Sdn Bhd (KDC), usaha sama 50:50 antara SD Guthrie Land Ventures Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh SD Guthrie, dan Sime Darby Property (Kerayong) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Sime Darby Property Bhd (SDP).
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu, SD Guthrie menjelaskan rasional bagi cadangan transaksi itu adalah pembangunan perindustrian merupakan bidang pertumbuhan strategik utama dalam segmen perniagaan baharu pihaknya.
“Langkah memanfaatkan lokasi strategik kawasan tersebut dalam koridor logistik utama yang disokong infrastruktur utama negara termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE).
“Peningkatan kesalinghubungan dijangka mengukuhkan laluan antara pelabuhan dan hab perindustrian, sekali gus meningkatkan kecekapan logistik,” jelasnya.
Menurut SD Guthrie cadangan pembangunan disokong lagi oleh prospek pertumbuhan didorong infrastruktur yang baik, memandangkan kedudukannya berdekatan dengan Pelabuhan Klang dan inisiatif peluasan pelabuhan yang berterusan.
Peluasan pelabuhan dijangka memacu peningkatan aktiviti perindustrian, meningkatkan kapasiti pengendalian kargo dan menyokong peningkatan nilai tanah jangka masa panjang, tambahnya.
“Berdasarkan skala dan kedudukan strategik, lokasi yang dicadangkan ini menyediakan peluang untuk SD Guthrie bersama-sama Sime Darby Property Bhd melaksanakan pembangunan perindustrian berskala besar dan bersepadu, termasuk logistik, pembuatan dan kemudahan sokongan, sekali gus meningkatkan prospek pertumbuhan jangka masa panjang kumpulan dan pempelbagaian portfolio,” tambahnya.
Berdasarkan SPA itu, kira-kira 247 ekar, yang meliputi Lot 2894 dan sebahagian daripada Lot 2896, akan dijual kepada KDL pada RM192.95 juta, manakala baki kira-kira 774.93 ekar Lot 2896 akan dijual kepada KDV pada RM605.36 juta.
Penjualan tanah yang dicadangkan itu tertakluk kepada, antara lain, kelulusan Lembaga Tanah Ladang dan Kementerian Ekonomi, dan dijangka selesai pada separuh kedua 2026.
Dalam kenyataan bersama berasingan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie, Mohd Haris Mohd Arshad berkata kemajuan itu menunjukkan komitmen syarikat untuk memanfaatkan nilai melalui perkongsian strategik.
“Pembangunan Bukit Kerayong mewakili peluang penting untuk memangkin pertumbuhan ekonomi di kawasan ini, menyokong aktiviti perindustrian dan komersial, serta mewujudkan nilai berkekalan untuk pihak berkepentingan di samping sejajar dengan aspirasi perindustrian negara,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican pula berkata perkongsian itu membuktikan kemajuan yang jelas ke arah mewujudkan pembangunan perindustrian sedia masa hadapan oleh dua syarikat yang mempunyai warisan bersama.
“Fasa seterusnya ini menggerakkan perkongsian kami daripada visi kepada pelaksanaan.
“Menerusi langkah menyepadukan kepakaran SDP dalam perancangan induk yang mampan dengan simpanan tanah strategik SD Guthrie, kami sedang membina koridor perindustrian lengkap untuk memenuhi permintaan rantaian bekalan yang sentiasa berubah, menarik pelaburan bernilai tinggi, memudahkan penciptaan pekerjaan yang penting dan memperkukuh daya saing perindustrian Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA