BERITA TERKINI   Kerajaan akan memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI RM200 juta, bantu penjaja, peniaga pasar malam dan ibu yang meniaga dari rumah - PM Anwar | Kemudahan pembiayaan mikro akan ditambah RM1 bilion, menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat kepada RM6 bilion - PM Anwar | Kerajaan bersetuju menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun - PM Anwar | MCMC akan sediakan RM1 bilion perkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam - PM Anwar | Program AI Untuk Rakyat untuk 100,000 belia berumur 18 hingga 30 tahun, terima langganan aplikasi AI secara percuma selama tiga bulan - PM Anwar | 

Jangan Ambil Mudah Kesan Ekonomi Susulan Selat Hormuz Tutup Semula - Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Kerajaan menyeru seluruh rakyat dan peniaga supaya tidak leka atau mengambil mudah kesan ekonomi dan rantaian bekalan susulan Iran mengumumkan penutupan semula Selat Hormuz, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir. 

Beliau berkata walaupun terdapat laporan masih terdapat sedikit pergerakan bagi kapal komersial, keadaan itu tidak boleh menyebabkan kerajaan atau rakyat berasa selesa.

“Ini bermakna ekonomi kita masih terdedah dengan gangguan geopolitik yang tidak stabil di luar sana. 

Ad Banner

“Kerajaan, rakyat, peniaga dan semua perlu bersedia dan berwaspada kerana memang akan ada kesan dari segi harga minyak, tekanan kepada kos pengangkutan dari segi tempoh penghantaran, harga input bahan mentah global dan isu bekalan dan harga barangan makanan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran video di laman rasmi TikTok beliau malam ini ketika mengulas mengenai penutupan semula Selat Hormuz susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel pada 8 Julai.

“Kita semua tidak boleh leka dan perlu mampu menyesuaikan diri dengan cabaran ekonomi yang masih belum surut susulan konflik peperangan dan serangan di Asia Barat yang masih belum surut,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata industri dan ekosistem rantaian akan menghadapi tekanan rantaian bekalan global sekiranya krisis itu berpanjangan, sekali gus memberi kesan kepada industri.

Menurutnya sekiranya keadaan itu tidak dibendung, ia akan memberi kesan kepada pengguna.

“Bila disebut rantaian, ia sebenarnya lebih rumit daripada yang kita jangka. Contohnya, jika tekanan itu dihadapi industri pengeluar plastik, kesannya boleh merebak kepada industri lain seperti pembungkusan makanan, komponen elektrik dan elektronik, automotif, peranti perubatan, pembinaan, pertanian dan eksport pembuatan,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau berkata cabaran berkenaan perlu ditangani supaya tidak menjejaskan operasi dan rantaian di peringkat berikutnya serta tidak bergantung sepenuhnya kepada faktor luaran.

-- BERNAMA