Dana Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset Diguna Lunas Hutang 1MDB, SRC - MoF
KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Kerajaan menegaskan bahawa penggunaan dana Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset dibuat selaras dengan Arahan Amanah yang diluluskan dan hanya bagi tujuan yang dibenarkan, termasuk menampung kos operasi serta melunaskan hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), penggunaan dana itu turut meliputi bayaran balik pendahuluan pemegang saham kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang telah didahulukan bagi memenuhi obligasi kewangan kedua-dua syarikat berkenaan.
“Sehubungan itu, dakwaan bahawa berlaku penyalahgunaan dana Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset adalah tidak berasas memandangkan semua penggunaan dana dibuat selaras dengan tujuan, skop dan tatakelola yang ditetapkan di bawah Arahan Amanah yang berkuat kuasa,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Kenyatan MoF itu susulan pertanyaan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang meminta kementerian menyatakan sejauh mana kebenaran dakwaan berlaku penyalahgunaan dana berkenaan, memandangkan Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset sepatutnya digunakan untuk melunaskan hutang dan komitmen 1MDB serta SRC.
Menjawab pertanyaan Mohd Isam berhubung peningkatan hasil bukan cukai berdasarkan Laporan Ekonomi Malaysia Suku Pertama 2026, MoF memaklumkan anggaran hasil kerajaan bagi 2026 diunjurkan berjumlah RM343.1 bilion, merangkumi hasil cukai sebanyak RM270.4 bilion dan hasil bukan cukai RM72.7 bilion.
Menurut MoF hasil bukan cukai bagi suku pertama 2026 meningkat 22.9 peratus kepada RM18.8 bilion berbanding RM15.3 bilion dalam tempoh sama pada 2025.
“Hasil cukai meliputi kutipan cukai langsung dan cukai tidak langsung, manakala hasil bukan cukai merupakan terimaan daripada kutipan lesen, bayaran pendaftaran dan permit, bayaran perkhidmatan, perolehan daripada jualan barang, sewaan, faedah dan perolehan daripada pelaburan, denda dan hukuman serta sumbangan.
“Jumlah hasil bukan cukai dalam tempoh tersebut antara lain disumbangkan oleh terimaan lesen dan permit, dividen daripada Petronas serta dividen daripada Bank Negara Malaysia,” menurut kementerian itu.
-- BERNAMA