BERITA TERKINI   Piala FA: Sabah 2-2 Selangor | iQIYI dan penerbit mohon maaf, setuju tarik sementara drama 'Madu atau Racun' untuk disunting semula - CEO FINAS | Operasi pembenihan awan di Sarawak: Kelompok awan dikesan ketika ini tidak sesuai untuk operasi berkenaan - Fahmi | Sambutan Hari Malaysia diteruskan di BCCK, namun acara luar bangunan dibatalkan susulan keadaan jerebu - Fahmi | Petronas bersedia untuk mengekalkan pengeluaran minyak dan gas Malaysia hampir 2.0 juta boe/h hingga 2028 - tengku Muhammad Taufik | 

Oil & Gas Asia 2026 Bakal Tarik Lebih 30,000 Pengunjung, 2,000 Syarikat Ambil Bahagian

KUALA LUMPUR, 2 Sept  (Bernama) -- Pameran Oil & Gas Asia (OGA) 2026 yang akan berlangsung dari 2 hingga 4 September, 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dijangka menarik lebih 30,000 pengunjung perdagangan dan turut menampilkan lebih 2,000 jenama dan syarikat yang mengambil bahagian.

Acara yang dianjurkan oleh Informa Markets Malaysia turut menghimpunkan lebih daripada 40 penceramah industri dan lapan pavilion antarabangsa dari Australia, China, Jerman, India, Itali, Singapura, Korea Selatan dan United Kingdom.

Pengerusi Informa Markets Malaysia Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata edisi tahun ini menyaksikan 35 peratus daripada pameran adalah penyertaan baharu di OGA, sekali gus menampilkan lebih banyak syarikat dengan kepakaran dan keupayaan yang pelbagai pada edisi kali ini.

Ad Banner

"Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan pavilion antarabangsa baharu dari Australia Barat, yang meluaskan lagi penyertaan syarikat tenaga dan penyedia penyelesaian di OGA.

"Pada masa yang sama, kerjasama kami dengan Timor-Leste membuka satu lagi ruang untuk memperkukuh hubungan kami dengan pasaran tenaga yang sedang membangun," katanya dalam ucapan alu-aluannya di Majlis Perasmian OGA 2026 di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Tan Sri Tengku Muhammad Taufik bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) Mohd Yazid Jaafar.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Abdul Rahman berkata salah satu kekuatan utama OGA adalah keupayaannya untuk menghubungkan pelbagai bahagian dalam ekosistem tenaga.

Beliau berkata kesalinghubungan pada tahun ini diperkukuh melalui kerjasama dengan Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSEC) dan EIC Connect OGA.

Katanya apa yang amat bermakna ialah EIC Connect OGA menghimpunkan pembuat dasar dan pemimpin industri bersama pihak berkepentingan dari seluruh rantau ini untuk meneroka laluan yang praktikal demi masa depan tenaga, peluang pelaburan dan prospek perniagaan.

"Selain itu, platform pengetahuan SPEAK OGA juga akan melengkapkan lagi perbincangan ini, menghimpunkan suara-suara industri untuk berkongsi perspektif, pengalaman praktikal dan pandangan mengenai cabaran serta peluang di masa hadapan.

"Apabila digabungkan, OGA, MOGSEC, EIC Connect bukanlah platform perbincangan yang berasingan. Ia membentuk satu platform yang saling berhubung dengan membawa perniagaan, dasar, teknologi, pengetahuan dan keupayaan industri ke dalam ruang yang sama," tambahnya.

Tahun lepas, OGA edisi ke-21 menarik lebih 33,000 pengunjung dari 81 buah negara dan 2,000 jenama serta syarikat yang mengambil bahagian berhimpun bersama, menjana potensi perniagaan yang dilaporkan bernilai US$42.17 juta (US$1 = RM4.04).

-- BERNAMA