Perdagangan Malaysia Meningkat 53.7 Peratus Kepada RM396.5 Bilion Pada September - DOSM
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 53.7 peratus tahun ke tahun kepada RM396.5 bilion pada September 2026 daripada RM258.1 bilion setahun lepas, disokong pertumbuhan kukuh eksport dan import, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Eksport meningkat 54.5 peratus kepada RM215.1 bilion, didorong terutamanya oleh produk elektrik dan elektronik (E&E), manakala import berkembang 52.7 peratus kepada RM181.4 bilion.
DOSM berkata lebihan dagangan meningkat 64.9 peratus kepada RM33.7 bilion, sekali gus mengekalkan lebihan dagangan untuk bulan ke-77 berturut-turut sejak Mei 2020.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan sempena penerbitan Buletin Statistik Perdagangan Luar Malaysia bagi September 2026, pertumbuhan eksport disokong peningkatan dua angka dalam eksport domestik dan eksport semula.
Eksport domestik, yang menyumbang 75.3 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 54.7 peratus kepada RM162.0 bilion.
Berasaskan bulan ke bulan, eksport, import dan jumlah perdagangan masing-masing meningkat 12.6 peratus, 11.3 peratus dan 12.0 peratus berbanding Ogos 2026. Lebihan dagangan pula meningkat 20.1 peratus atau RM5.6 bilion.
Daripada 258 kumpulan komoditi eksport, sebanyak 161 mencatatkan peningkatan berbanding setahun lepas, manakala 197 daripada 256 kumpulan komoditi import merekodkan pertumbuhan.
Peningkatan eksport didahului penghantaran lebih tinggi ke Amerika Syarikat (AS) sebanyak RM18.0 bilion, diikuti Taiwan (RM13.7 bilion), Singapura (RM11.9 bilion), Hong Kong (RM6.9 bilion), Kesatuan Eropah (RM4.2 bilion), China (RM3.7 bilion) dan Thailand (RM3.2 bilion).
Pertumbuhan import pula didorong terutamanya oleh peningkatan import dari China sebanyak RM21.1 bilion, diikuti Singapura (RM10.9 bilion), Korea Selatan (RM9.1 bilion), Taiwan (RM6.9 bilion), AS (RM3.0 bilion), Vietnam (RM2.8 bilion) dan India (RM1.8 bilion).
Bagi pertumbuhan eksport produk, ia terutamanya disumbangkan oleh barangan E&E yang meningkat RM45.1 bilion, diikuti keluaran perkilangan lain (RM14.7 bilion), keluaran petroleum (RM3.0 bilion), barangan optik dan saintifik (RM2.4 bilion), jentera, kelengkapan dan peralatan (RM2.4 bilion) serta gas asli cecair (LNG) (RM1.7 bilion).
Peningkatan import produk E&E sebanyak RM42.2 bilion turut menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan import. Ini diikuti jentera, kelengkapan dan alat ganti (RM4.5 bilion), keluaran petroleum (RM3.9 bilion), barangan perkilangan logam (RM2.6 bilion), keluaran perkilangan lain (RM2.0 bilion) serta kimia dan produk kimia (RM2.0 bilion).
Mengikut kategori penggunaan akhir, import barangan pengantara, barangan modal dan barangan penggunaan semuanya mencatatkan peningkatan.
Menurut DOSM, import barangan pengantaraan, yang merangkumi 50.8 peratus daripada jumlah import, meningkat 69.6 peratus atau RM37.8 bilion kepada RM92.1 bilion.
Import barangan modal, yang menyumbang 12.3 peratus daripada jumlah import pula meningkat 20.9 peratus kepada RM22.3 bilion, manakala import barangan penggunaan, yang merangkumi 6.0 peratus daripada jumlah import berkembang 18.2 peratus kepada RM10.9 bilion.
Bagi tempoh Januari hingga September 2026, jumlah perdagangan meningkat 30.1 peratus tahun ke tahun kepada RM2.9 trilion daripada RM2.2 trilion setahun lepas, disokong pertumbuhan eksport sebanyak 34.0 peratus dan import sebanyak 25.7 peratus.
Sementara itu, lebihan dagangan turut berkembang 115.7 peratus kepada RM232.4 bilion.
Pada suku ketiga 2026, jumlah perdagangan berkembang 44.7 peratus tahun ke tahun, didorong peningkatan eksport sebanyak 46.0 peratus dan import sebanyak 43.3 peratus.
DOSM berkata lebihan dagangan bagi suku berkenaan meningkat 65.1 peratus kepada RM84.3 bilion.
-- BERNAMA