BERITA TERKINI   Sukan Para Asia 2026: Pelumba berbasikal trek para Zuhairie Ahmad Tarmizi rangkul emas sulung negara dalam acara ujian masa 1000m C4-5 lelaki | Sarawak bakal jadi hab serantau Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) bagi Borneo mulai tahun depan – Azalina | Kadar tambang ECRL sehala Gombak-Kota Bharu RM125 (transit), RM147 (ekspres), operasi Disember 2026 - MRL | Usaha reformasi ekonomi yang dilaksanakan kerajaan sejak empat tahun lepas bantu lonjakkan kekuatan ekonomi, tingkat kesejahteraan rakyat - PM Anwar | Malaysia sedia gerak pesawat Bombardier, tiga helikopter, 50 anggota bantu padam kebakaran hutan di Indonesia, tunggu persetujuan rasmi untuk mulakan operasi – Ahmad Zahid | 

DNB Muktamadkan Pembiayaan Berjangka Islam Bersindiket RM5.2 Bilion

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Digital Nasional Bhd (DNB) berjaya memuktamadkan kemudahan pembiayaan berjangka Islam bersindiket berjumlah RM5.2 bilion. 

Susulan kejayaan memuktamadkan pembiayaan tersebut DNB hari ini meraikan pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur digital negara itu menerusi majlis pertukaran dokumen bersama lima institusi kewangan.

DNB menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan lima institusi kewangan yang terlibat itu ialah Maybank Investment Bank Berhad, AmInvestment Bank Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad, RHB Islamic Bank Berhad dan United Overseas Bank (Malaysia) Berhad. 

Ad Banner

Maybank Investment Bank Berhad bertindak sebagai pengatur utama yang diberi mandat, pengurus buku dan pengatur penyelaras, manakala empat institusi kewangan lain bertindak sebagai pengatur utama bersama yang diberi mandat. AmInvestment Bank Berhad turut dilantik sebagai penasihat kewangan kepada DNB. 

Pembiayaan yang dimuktamadkan pada 29 September 2026 itu telah membiayai semula kemudahan kredit pusingan DNB yang dijamin kerajaan, di samping mewujudkan struktur pembiayaan jangka panjang mampan bagi menyokong pertumbuhan syarikat pada masa hadapan. 

Selain itu, pembiayaan tersebut turut memperkukuh kedudukan kewangan jangka panjang DNB ketika syarikat beralih ke fasa seterusnya di bawah kerangka dwirangkaian 5G Malaysia. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, serta barisan kepimpinan kanan daripada sektor kerajaan, telekomunikasi, kawal selia dan kewangan.

“Kejayaan memuktamadkan pembiayaan berjumlah RM5.2 bilion ini, bersama-sama penguntukan spektrum baru-baru ini dan proses peralihan pemegang saham telah memperkukuh asas bagi menyokong fasa pertumbuhan DNB yang seterusnya di bawah kerangka dwirangkaian 5G,” kata ketua pegawai eksekutif DNB Datuk Azman Ismail.

Pembiayaan itu juga merupakan susulan kepada beberapa perkembangan penting bagi DNB, termasuk kejayaan pelaksanaan infrastruktur 5G di seluruh negara, proses pengunduran Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) sebagai pemegang saham biasa yang bakal dilaksanakan serta peralihan kepada pegangan ekuiti yang sama rata dalam kalangan pemegang saham pengendali rangkaian mudah alihnya iaitu CelcomDigi Berhad melalui Infranation Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd dan YTL Power International Bhd, serta pemberian penguntukan spektrum bagi keseluruhan pegangan spektrum DNB baru-baru ini.

Secara keseluruhannya, pencapaian itu melengkapkan asas utama dari aspek kewangan, komersial, operasi dan kawal selia yang diperlukan untuk DNB melangkah ke fasa pembangunan seterusnya. 

Pencapaian pembiayaan itu turut bertepatan dengan pemberian keseluruhan spektrum 100 MHz dalam jalur 3.3–3.4 GHz baru-baru ini serta penukaran keseluruhan pegangan spektrum DNB sebanyak 240 MHz kepada Penguntukan Spektrum, berkuat kuasa 1 Oktober, 2026. 

Ketika Malaysia melangkah ke fasa seterusnya dalam pelaksanaan kerangka dwirangkaian 5G, DNB kekal komited untuk menyediakan infrastruktur digital yang berkualiti tinggi, selamat dan boleh dipercayai bagi memenuhi keperluan pemegang saham, pelanggan, perusahaan dan agensi kerajaan, di samping menyumbang kepada agenda transformasi digital dan aspirasi kecerdasan buatan (AI) negara. 

-- BERNAMA