BERITA TERKINI   ASEAN terima kemasukan Turkiye sebagai Rakan Dialog yang baharu - Mohamad Hasan | 63,475 pasport Malaysia versi baharu dikeluarkan setakat 17 Julai - KP Imigresen | BN kekal dalam Kerajaan Perpaduan selaras resolusi PAU, semua pihak diminta hormati keputusan badan tertinggi - Ahmad Zahid | Kedudukan pasport ketiga paling berkuasa bukti keyakinan dunia terhadap Malaysia - Saifuddin Nasution | KDN sasar JIM kutip hasil lebih RM5 bilion tahun ini - Saifuddin Nasution | 

RTS Link, JS-SEZ Bakal Corakkan Fasa Pertumbuhan Baharu Di Johor

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Projek seperti Sistem Transit Rapid (RTS) Link, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), peluasan rangkaian logistik serta pelaburan berterusan dalam infrastruktur perindustrian dan digital dijangka mengubah landskap ekonomi Johor.

Pada masa sama, perkembangan ini akan terus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai pintu masuk strategik bagi perdagangan, pelaburan dan perniagaan rentas sempadan, menurut Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Wilayah Selatan

Pengerusi MICCI Wilayah Selatan, Lee Ting Kiat berkata pembangunan infrastruktur yang sedang dilaksanakan akan mendorong fasa pertumbuhan Johor yang seterusnya.

Ad Banner

“Ketika ini, perniagaan perlu merancang berdasarkan tempoh perjalanan yang tidak menentu apabila bertemu pelanggan, menggerakkan tenaga kerja atau berulang-alik merentasi Tambak Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Kadangkala perjalanan mengambil masa sejam dan lebih lama. Dengan RTS Link, perniagaan kini mempunyai kepastian lebih tinggi dalam merancang operasi dan perjalanan rentas sempadan. Ini akan meningkatkan keyakinan pelabur serta menggalakkan lebih banyak syarikat untuk berkembang di Johor,” katanya.

Beliau berkata RTS Link berpotensi meningkatkan daya saing Johor menerusi sistem pengangkutan yang membolehkan pergerakan antara Johor Bahru dan Singapura menjadi lebih pantas, mudah diramal serta disokong oleh kemudahan pemeriksaan imigresen bersepadu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Perjalanan rentas sempadan lebih lancar dijangka meningkatkan mobiliti tenaga kerja, memudahkan kerjasama antara perniagaan serta memberikan keyakinan lebih tinggi kepada syarikat dalam merancang operasi dan membuat keputusan pelaburan di sepanjang koridor ekonomi Johor-Singapura, katanya.

RTS Link turut dijangka merancakkan pasaran hartanah Johor Bahru dengan meningkatkan daya tarikan pembangunan kediaman dan komersial, terutamanya di pusat bandar.

Mengenai JS-SEX, Lee berkata apabila lebih banyak syarikat memilih untuk melabur atau mengembangkan operasi di negeri ini, peluang yang terhasil bukan sahaja memberi manfaat kepada pelabur berskala besar, malah, ia turut membuka ruang kepada pengilang, penyedia logistik, syarikat kejuruteraan, syarikat teknologi, penyedia perkhidmatan profesional serta pelbagai industri sokongan lain.

Walaupun insentif memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan, kesiapsiagaan infrastruktur, kesalinghubungan dan ekosistem perindustrian yang mantap kekal menjadi pertimbangan utama dalam keputusan pelaburan, katanya.

Dalam pada itu, Lee turut menggalakkan perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), supaya mula membuat persediaan dari sekarang supaya dapat memanfaatkan transformasi ekonomi Johor.

"PKS tidak boleh terus kekal beroperasi dengan cara lama. Mereka perlu bersedia untuk berubah dengan memperkukuh keupayaan digital, memperoleh pensijilan bersesuaian serta memanfaatkan geran dan bantuan disediakan kerajaan.

“Perniagaan yang membuat persediaan awal akan berada pada kedudukan jauh lebih baik apabila semakin banyak pelaburan masuk ke Johor dan peluang baharu mula muncul," katanya.

-- BERNAMA