BERITA TERKINI   Manifesto PH Negeri Sembilan mampu dilaksana, bukan sekadar janji politik - Aminuddin | 

CIMB Securities Kekal Optimis Terhadap Westports, Jangka Jumlah Kontena Lebih Kukuh Pada 2026

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- CIMB Securities Sdn Bhd mengekalkan saranan “overweight” terhadap sektor pengangkutan dengan Westports Holdings Bhd kekal sebagai saham pilihan utamanya.

 Firma pembrokeran itu dalam satu nota penyelidikannya hari ini menjangkakan jumlah kontena pengendali pelabuhan berkenaan akan meningkat sebanyak 4.5 peratus tahun ke tahun pada 2026.

"Kadar pengeluaran kontena Westports dijangka meningkat pada separuh kedua 2026, dipacu oleh jumlah eksport Asia yang kekal mampan.

Ad Banner

"Pertumbuhan itu akan dipacu oleh pemulihan semula kargo domestik susulan penyelesaian gangguan berkaitan sisa elektronik (e-sisa) serta aktiviti pemindahan kapal yang kekal mampan berikutan sokongan perkhidmatan baharu Ocean Alliance dan aliran pengalihan perdagangan yang berterusan," jelasnya.

Ia menyatakan prospek global perkapalan kontena turut berubah menjadi lebih positif dengan Maersk menaikkan unjuran pertumbuhan jumlah pasaran kontena global bagi 2026 kepada empat peratus pada akhir Jun 2026.

Ini berbanding anggaran sebelumnya iaitu antara dua hingga empat peratus, dipacu oleh permintaan yang berterusan, khususnya di Asia.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Begitu juga, Drewry turut menyemak semula unjuran pertumbuhan pengendalian kontena global bagi 2026 kepada tiga peratus daripada 1.8 peratus yang diunjurkan pada awal tahun ini, sebahagiannya disebabkan oleh keseimbangan penawaran dan permintaan yang lebih ketat.

Bank pelaburan itu turut memaklumkan kesesakan teruk di kawasan limbungan kontena yang berlaku pada penghujung 2025 dan awal 2026 diselesaikan sepenuhnya melalui kawalan operasi yang lebih ketat.

Ini termasuk tempoh penyimpanan percuma yang lebih singkat, caj lebihan tempoh penyimpanan yang lebih tinggi, penerimaan kargo secara terpilih serta kapasiti kawasan limbungan tambahan yang mula beroperasi pada suku ketiga 2026.

"Hasilnya, kadar penggunaan kawasan limbungan kembali normal kepada sekitar 75 peratus sekali gus menyediakan ruang operasi yang mencukupi. Kami percaya penambahbaikan struktur ini mengurangkan risiko berulangnya kesesakan dalam tempoh terdekat secara ketara," katanya.

CIMB Securities memberitahu Westports membayangkan pelanggan syarikat perkapalan mereka kekal optimis terhadap permintaan perkapalan menjelang suku ketiga 2026.

Bagaimanapun, ia menyatakan pengendali pelabuhan itu kekal berhati-hati tetapi optimis terhadap tinjauan tempoh jangka pendeknya berikutan peningkatan kos bahan api serta gangguan operasi yang berlaku sekali-sekala.

Westports menjangkakan perbelanjaan bahan api akan merangkumi 22 hingga 24 peratus daripada jumlah kos operasi bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2026 berbanding 17 peratus pada tahun kewangan 2025, susulan lonjakan harga bahan api baru-baru ini akibat konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran.

"Bagi mengurangkan impak tersebut, Westports sedang mempercepatkan inisiatif pengoptimuman kos termasuk pelaburan dalam tenaga solar dan elektrifikasi armadanya secara berperingkat.

"Di sebalik cabaran ini, kami percaya semakan semula tarif pelabuhan pusingan kedua yang berkuat kuasa pada Januari 2026 akan mengurangkan sebahagian daripada impak tersebut pada separuh kedua 2026," katanya.

CIMB Securities mengekalkan saranan “beli” terhadap Westports dengan harga sasaran RM6.70, berdasarkan penilaian purata 10 tahunnya.

Pada waktu rehat tengah hari, saham Westports turun tiga sen kepada RM6.14 dengan 650,200 saham diniagakan.

-- BERNAMA