BERITA TERKINI   Sweden, Poland, Romania dan Lithuania diterima menjadi anggota baharu Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) - Mohamad Hasan  | ASEAN terima United Kingdom sebagai negara anggota Forum Serantau ASEAN (ARF) yang baharu- Mohamad Hasan | ASEAN terima kemasukan Turkiye sebagai Rakan Dialog yang baharu - Mohamad Hasan | 63,475 pasport Malaysia versi baharu dikeluarkan setakat 17 Julai - KP Imigresen | BN kekal dalam Kerajaan Perpaduan selaras resolusi PAU, semua pihak diminta hormati keputusan badan tertinggi - Ahmad Zahid | 

Kutipan Hasil Lebih Kukuh Beri Malaysia Ruang Fiskal Tangani Kejutan Luaran - AmBank

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Kutipan hasil kerajaan yang lebih tinggi daripada jangkaan dalam tempoh lima bulan pertama 2026 telah mewujudkan ruang fiskal tambahan untuk menangani cabaran yang muncul termasuk kenaikan harga tenaga global, kata Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group Firdaos Rosli.

Beliau berkata prestasi hasil dalam tempoh itu telah mengatasi tempoh yang sama pada 2025 dan 2024, memberikan kerajaan fleksibiliti yang lebih besar dalam membuat keputusan berhubung perbelanjaannya.

"Dengan hasil yang melebihi jangkaan, kerajaan mempunyai ruang untuk menyalurkan perbelanjaan tambahan ke tempat yang paling memerlukan.

Ad Banner

"Dalam persekitaran semasa, dengan ketegangan geopolitik di Asia Barat mendorong kenaikan harga tenaga, ruang fiskal itu membolehkan kerajaan memperluas subsidi bahan api dan langkah sokongan lain untuk mengurangkan kesan ke atas isi rumah dan perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media bertajuk 'Tinjauan Separuh Kedua 2026: Pertumbuhan Berdaya Tahan, Ketidaktentuan Meningkat' di sini hari ini.

Bagi menyokong penilaian beliau, Firdaos berkata jumlah hasil kerajaan Persekutuan meningkat 11 peratus kepada RM138.4 bilion dalam tempoh lima bulan 2026 daripada RM124.8 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata Belanjawan 2026 mengunjurkan jumlah hasil sebanyak RM343.1 bilion dengan kutipan sebenar telah mencapai 40.3 peratus daripada sasaran setahun penuh dalam tempoh lima bulan 2026, berbanding 36.7 peratus bagi tempoh yang sama pada 2025 dan 2024.

Dari segi perbelanjaan, jumlahnya meningkat 9.7 peratus kepada RM173.9 bilion daripada RM158.6 bilion, mewakili 41.6 peratus daripada peruntukan Belanjawan 2026 berbanding 37.8 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Kerajaan menjangkakan defisit fiskal akan menguncup kepada RM74.6 bilion pada 2026 daripada RM79.9 bilion pada 2025, disokong oleh kutipan hasil yang lebih kukuh walaupun perbelanjaan lebih tinggi.

Bagaimanapun, beliau berkata memandangkan perbelanjaan turut meningkat seiring dengan pertambahan hasil, kedudukan baki fiskal dalam tempoh lima bulan pertama 2026 berada pada 47.5 peratus daripada defisit yang dianggarkan bagi keseluruhan tahun, berbanding 42.2 peratus dalam tempoh yang sama pada 2025.

Firdaos menyatakan kedudukan fiskal kerajaan yang lebih kukuh telah membolehkannya melaksanakan langkah-langkah untuk melindungi isi rumah daripada kenaikan kos sara hidup melalui subsidi bahan api di samping menyokong kesinambungan pekerjaan dan perniagaan melalui program daya tahan pasaran buruh serta jaminan pembiayaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Pada pandangan kami, masih terdapat ruang dasar untuk sokongan tambahan sekiranya diperlukan, ditunjangi oleh ruang fiskal yang dibina semula melalui usaha pengukuhan fiskal yang berterusan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Di sebalik ketidaktentuan global, kami memuji kerajaan kerana menambah baik kutipan hasilnya secara ketara tanpa menjejaskan prospek pertumbuhan secara signifikan pada 2026," katanya.

Beliau menambah kutipan hasil yang lebih kukuh telah mewujudkan penampan fiskal yang diperlukan untuk melindungi ekonomi daripada ketidaktentuan yang di luar jangka.

"Sebab itulah kami berpendapat kerajaan dari segi fiskal mampu untuk memperluas subsidi bahan api apabila harga minyak global melonjak berikutan konflik di Asia Barat," katanya.

Mengenai prospek fiskal, Firdaos berkata sasaran defisit fiskal Malaysia sebanyak 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026, berbanding 3.7 peratus pada 2025, masih boleh dicapai walaupun subsidi bahan api lebih tinggi, dengan syarat kutipan hasil melebihi daripada jangkaan belanjawan pada separuh kedua 2026.

Beliau berkata sasaran itu juga akan disokong oleh pertumbuhan KDNK nominal yang lebih kukuh, penguatkuasaan fiskal yang lebih ketat dan hasil bukan cukai yang lebih tinggi.

"Bagaimanapun, sasaran defisit itu boleh menjadi agak mencabar jika risiko penurunan menjadi kenyataan, termasuk pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan daripada jangkaan akibat ketidaktentuan luaran dan perolehan hasil berkaitan komoditi diimbangi oleh premium risiko berkaitan perang yang lebih tinggi.

“Selain itu, kutipan hasil yang lebih lemah pada separuh kedua 2026 yang berpunca daripada kejutan luaran dan permintaan luaran yang semakin merosot mampu menjejaskan prestasi eksport Malaysia," katanya lagi.

Firdaos berkata baru-baru ini Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan membayangkan defisit fiskal mungkin tersasar sedikit daripada sasaran 3.5 peratus daripada KDNK yang ditetapkan oleh kerajaan bagi 2026, walaupun hala tuju pengukuhan fiskal jangka sederhana ke arah defisit 3.0 peratus menjelang tahun 2028 kekal utuh.

“Pelarasan sementara dan kecil terhadap sasaran pengurangan defisit adalah wajar, dengan syarat terdapat komitmen yang jelas untuk kembali kepada laluan pengukuhan fiskal apabila keadaan pertumbuhan ekonomi bertambah baik,” katanya.

Firdaos berkata walaupun strategi pengukuhan fiskal kerajaan terus bergantung kepada usaha memperkukuh kutipan hasil dan memastikan pertumbuhan perbelanjaan kekal konsisten dengan sasaran defisit fiskalnya, penggubal dasar perlu terus mengutamakan langkah yang mengekalkan momentum pertumbuhan Malaysia ketika cabaran luaran semakin meningkat.

-- BERNAMA