MBSB Bank, NCIA Meterai MoU Penyediaan Pembiayaan Hingga RM1 Bilion Untuk PKS
PETALING JAYA, 17 Julai (Bernama) -- MBSB Bank Bhd hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi mempercepat pertumbuhan ekonomi di seluruh Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dengan kemudahan pembiayaan sehingga RM1 bilion.
Pengerusinya Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata kerjasama berkenaan akan merangsang lebih banyak peluang perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk bertapak di wilayah utara.
“Pembiayaan RM1 bilion ini akan membolehkan perniagaan memperluas kapasiti mereka, mengambil bahagian dalam rantaian bekalan utama dan akhirnya menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang koridor utara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU di antara MBSB Bank dengan NCER di sini hari ini.
Dokumen berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Perbankan Komersial Kumpulan MBSB Bank, Noor Mohamed Amin dan Ketua Pegawai Operasi NCIA, Hasri A Hassan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank Rafe Haneef berkata kerjasama bersama NCIA itu bertujuan menarik syarikat-syarikat berpotensi tinggi terutamanya PKS yang berorientasikan eksport mendapatkan pembiayaan daripada bank tersebut.
“MBSB Bank juga bekerjasama dengan Santander Group, sebuah kumpulan perbankan dari Eropah bagi menyediakan platform untuk membantu syarikat-syarikat mengembangkan aktiviti eksport ke pasaran antarabangsa.
“Melalui MoU ini, kami berharap dapat memperkukuh usaha untuk memperluas pembiayaan di NCER,” katanya.
Selain itu, Ketua Eksekutif NCIA Datuk Mohamad Haris Kader Sultan memberitahu kerjasama berkenaan memperkukuh sektor-sektor pertumbuhan strategik NCER termasuk elektrik dan elektronik (E&E), pembuatan termaju, agromakanan, logistik, ekonomi digital dan teknologi hijau.
“Sewaktu kita melangkah ke hadapan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), rakan kerjasama strategik seperti ini menjadi semakin penting buat NCER dalam membina ekosistem sokongan yang diperlukan untuk menarik pelaburan, mempercepat pelaksanaan projek dan memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan,” tambahnya.
NCIA merupakan sebuah badan berkanun yang merancang serta memacu pertumbuhan ekonomi di NCER merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
NCER memantapkan kedudukannya sebagai satu daripada wilayah ekonomi yang paling pesat berkembang di Malaysia dengan menarik pelaburan domestik dan asing yang besar dalam bidang E&E, pembuatan termaju, logistik, perniagaan tani, ekonomi digital serta industri bernilai tinggi yang lain.
-- BERNAMA