Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan Mendatar Dengan Kecenderungan Menurun Minggu Depan
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan mendatar dengan sedikit kecenderungan menurun pada minggu hadapan.
Harga komoditi itu dijangka kekal dalam julat US$3,900 hingga US$4,000 setiap auns troy berikutan ketidaktentuan mengenai prospek kadar faedah Amerika Syarikat (AS) serta ketegangan geopolitik yang berterusan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peserta pasaran terus mengambil kira kemungkinan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) memandangkan tekanan inflasi dijangka kekal tinggi.
“Pengurangan kadar Indeks Harga Pengguna (IHP) dan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS pada Jun berkemungkinan hanya bersifat sementara.
"Ini kerana harga minyak mentah mula meningkat susulan serangan ketenteraan baharu AS terhadap Iran manakala ketidaktentuan berhubung pembukaan semula Selat Hormuz masih berterusan,” tambah beliau.
Beliau berkata walaupun jangkaan terhadap kadar faedah AS yang lebih tinggi boleh memberi tekanan kepada harga emas, ketidaktentuan geopolitik yang berterusan dijangka terus menyokong permintaan terhadap logam berharga itu sebagai aset perlindungan selamat.
Bagi perbandingan minggu ke minggu, kontrak bulan semerta Julai 2026 turun kepada US$4,003.50 bagi setiap auns troy pada Jumaat daripada US$4,109.30 setiap auns troy sebelumnya manakala Ogos 2026 menyusut kepada US$4,021.70 daripada US$4,129.90 dan kontrak September 2026 merosot kepada US$4,034.70 daripada US$4,141.70.
Kontrak Oktober dan Disember 2026 turut menyusut kepada US$4,065.20 bagi setiap auns troy daripada US$4,172.20 pada akhir minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan mingguan mengecil kepada 450 lot daripada 493 lot manakala kepentingan terbuka berkembang kepada 202 kontrak pada Jumaat daripada 105 kontrak pada minggu sebelumnya.
Emas fizikal ditetapkan pada US$3,993.55 bagi setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 16 Julai, 2026.
-- BERNAMA