Belian Asing Berterusan Di Bursa Malaysia, Aliran Masuk Lonjak Kepada RM612.3 Juta
KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Institusi asing meneruskan belian bagi minggu kedua berturut-turut di Bursa Malaysia dengan aliran masuk bersih mencecah RM612.3 juta iaitu melonjak lebih lapan kali berbanding aliran masuk RM75.3 juta pada minggu sebelumnya, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).
Menerusi laporan aliran dana bagi minggu berakhir pada 17 Julai 2026, institusi asing juga muncul sebagai pembeli bersih bagi empat daripada lima hari dagangan sepanjang minggu berkenaan.
Jumlah aliran masuk tertinggi dicatatkan pada Khamis iaitu RM238.7 juta dan diikuti pada Selasa (RM174.1 juta), Rabu (RM140.8 juta) dan Jumaat (RM92.1 juta).
“Satu-satunya hari aliran keluar dana adalah pada Isnin (-RM33.4 juta),” menurutnya.
MBSB IB memaklumkan tiga sektor dengan aliran masuk bersih ketara disumbangkan oleh institusi asing di Bursa Malaysia adalah perkhidmatan kewangan (RM754.1 juta), utiliti (RM194.9 juta) dan perladangan (RM66.9 juta).
Sebaliknya, aliran keluar bersih dana terbesar pula dicatatkan oleh produk dan perkhidmatan perindustrian (-RM256.0 juta), teknologi (-RM98.5 juta), serta produk dan perkhidmatan pengguna (-RM64.3 juta).
Dalam pada itu, institusi tempatan meneruskan jualan bersih bagi minggu kedua berturut-turut dengan aliran keluar bersih -RM305.9 juta.
Pada masa sama, pelabur runcit kembali sebagai penjual bersih dengan melepaskan sejumlah RM306.4 juta selepas menjadi pembeli pada minggu sebelumnya.
Selain itu, MBSB IB memaklumkan jumlah dagangan harian meningkat secara menyeluruh dengan dagangan pelabur runcit menokok 34.3 peratus dan diikuti oleh institusi tempatan sebanyak 25.8 peratus manakala institusi asing sebanyak 40.8 peratus.
-- BERNAMA