MARC Ratings Semak Naik Unjuran KDNK 2026 Malaysia Kepada 5.1 Peratus
KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC Ratings) menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 kepada 5.1 peratus daripada 4.4 peratus sebelum ini.
Agensi penarafan itu mengekalkan kecenderungan peningkatan berkenaan dengan syarat pertumbuhan KDNK terus mencatat momentum yang kukuh pada suku ketiga 2026.
Menerusi kenyataan hari ini, MARC Ratings memaklumkan ketidaktentuan geopolitik global terbukti menjadi pemangkin bagi pertumbuhan di Malaysia, mempercepat pelaburan bagi rantaian bekalan serta pembangunan infrastruktur, memacu peningkatan ketibaan pelancong yang mencecah angka tertinggi selain merancakkan eksport hidrokarbon.
“Kesemua faktor ini melengkapkan lagi kekukuhan pelaburan langsung asing (FDI), kitaran peningkatan pelaburan bagi semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) serta perbelanjaan sektor swasta yang berdaya tahan,” menurutnya.
Selain itu, MARC Ratings juga menjangkakan Malaysia akan terus menarik aliran masuk bon asing pada separuh kedua 2026, disokong oleh asas-asas domestik yang stabil selain pembaharuan institusi yang sedang dilaksanakan.
Namun, sebarang unjuran pendirian Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang cenderung menaikkan kadar faedah, berpotensi menyederhanakan aliran dana berkenaan.
Bagaimanapun, di sebalik keadaan itu, hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dijangka secara keseluruhannya kekal stabil dalam julat 3.60 peratus hingga 3.70 peratus menjelang akhir 2026.
Menyentuh dasar monetari, MARC Ratings menyatakan jangkaan asasnya bagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan, namun sebarang risiko geopolitik yang berterusan boleh mengekalkan peningkatan harga minyak dan tekanan inflasi.
“Di samping itu, walaupun dalam (senario) pertumbuhan KDNK yang kukuh, sebarang perubahan OPR ke paras sebelum pengurangan awal pada Julai 2025, berkemungkinan dipertimbangkan dari semasa ke semasa.”
Bagi ringgit, MARC Ratings menjangkakan unit tempatan itu diniagakan dalam julat RM4.00-RM4.15 berbanding dolar AS menjelang akhir 2026 berbanding unjuran sebelumnya iaitu RM3.98 hingga RM4.07, sebelum Fed mengubah unjuran kadar faedah utama.
Sebarang semakan itu akan memaparkan perbezaan hasil lebih ketara antara MGS dan bon Perbendaharaan AS yang lebih memihak kepada negara maju itu.
Bagaimanapun, agensi penarafan itu memaklumkan prestasi eksport yang mencecah paras tertinggi selain aliran masuk FDI yang berterusan akan terus memberi sokongan terhadap ringgit.
Menurut MARC Ratings, ringgit juga secara menyeluruh adalah stabil pada separuh pertama 2026, malah disenaraikan sebagai mata wang kedua mencatat prestasi terbaik dalam kalangan mata wang utama Asia selepas yuan China bagi separuh pertama 2026.
-- BERNAMA