AirBorneo Terap ‘Model Sarawak’ Kekalkan Tambang Mampu Milik – Abang Johari
SEPANG, 20 Julai (Bernama) -- Syarikat penerbangan milik kerajaan negeri Sarawak, AirBorneo, akan beroperasi menerusi “model Sarawak” yang menggabungkan sokongan kerajaan dengan operasi komersial bagi memastikan tambang penerbangan kekal berpatutan, selain menjamin kemampanan jangka panjang, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata model perniagaan AirBorneo berbeza daripada syarikat penerbangan konvensional berikutan mengambil kira cabaran kos operasi, khususnya peningkatan harga bahan api jet.
“Kami melihat AirBorneo sebagai jambatan kerana kita (rakyat Sarawak) berada di sebuah pulau, dan tidak mungkin orang ramai berenang merentasi Laut China Selatan.
“Kami menganggap syarikat penerbangan ini sebagai jambatan udara. Akan ada sedikit sumbangan kerajaan dari segi kos tetap, manakala kos operasi akan berasaskan pendekatan komersial. Model perniagaan ini berbeza daripada syarikat penerbangan lain. Itulah model Sarawak,” katanya.
Abang Johari berkata demikian kepada pemberita selepas penerbangan sulung AirBorneo laluan Kuching-Kuala Lumpur tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan Sarawak melihat AirBorneo sebagai pelaburan strategik bagi memperkukuh ekonomi negeri menerusi peningkatan kesalinghubungan untuk sektor perniagaan dan pelabur.
Beliau berkata Sarawak terus menarik pelaburan dalam sektor seperti tenaga boleh diperbaharui dan semikonduktor, sekali gus menjadikan jaringan perhubungan udara yang cekap amat penting bagi perjalanan korporat.
“Mesti ada jambatan untuk golongan korporat ini keluar masuk ke Sarawak, dan itulah pelaburan yang dibuat oleh kerajaan negeri Sarawak,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyambut ketibaan penerbangan sulung AirBorneo Airways dari Kuching di KLIA Terminal 1, di sini.
Penerbangan MY5005 itu membawa Abang Johari bersama barisan menteri Sarawak serta tetamu kenamaan.
Turut hadir di KLIA ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri serta Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.
-- BERNAMA