CIMB Sasar Jadi Rakan Pengurusan Kekayaan Kepada Individu Berpendapatan Tinggi ASEAN
KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- CIMB Group bermatlamat untuk menjadi rakan pengurusan kekayaan utama kepada individu berpendapatan tinggi di seluruh ASEAN melalui pengenalan CIMB Private Wealth memandangkan peningkatan pendapatan, perbandaran dan pemindahan kekayaan antara generasi sedang membentuk semula permintaan bagi perkhidmatan nasihat kekayaan di seluruh rantau ini.
Cadangan pengurusan kekayaan baharu ini, yang diperkenalkan oleh CIMB Bank Bhd, menggabungkan penyelesaian kewangan gred institusi dengan perkhidmatan nasihat kekayaan diperibadikan yang disesuaikan untuk pelanggan berpendapatan tinggi, sejajar dengan strategi Forward30 kumpulan untuk menyediakan penyelesaian pelaburan, pembiayaan dan perlindungan bernilai lebih tinggi di seluruh ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan Haniz Nazlan berkata ASEAN sedang melalui apa yang disifatkan CIMB sebagai "perubahan besar" selepas didorong oleh peralihan demografi, perbandaran dan peningkatan tahap pendapatan, mewujudkan peluang jangka panjang untuk industri pengurusan kekayaan.
"Perbandaran adalah satu pemacu utama. Satu lagi ialah peningkatan tahap pendapatan yang memacu keupayaan pelanggan untuk mempunyai pendapatan mengikut budi bicara dan wang untuk mula memikirkan tentang pelaburan," katanya pada sidang media selepas pelancaran CIMB Private Wealth di sini hari ini.
Haniz berkata perusahaan mikro, kecil dan sederhana, yang menyumbang lebih daripada 90 peratus perniagaan di ASEAN, juga menjadi pemacu utama dalam penciptaan kekayaan, dengan ramai usahawan semakin memerlukan penyelesaian perbankan dan pengurusan kekayaan di luar operasi perniagaan mereka.
"Kumpulan usahawan dan pemilik perniagaan ini mempunyai permintaan yang besar untuk memindahkan modal ke seluruh rantau, sama ada kiriman wang, pelaburan atau pengembangan perniagaan ke pasaran jiran.
"Memandangkan pengurusan kekayaan menjadi semakin kompleks dan merentas sempadan, peranan kami juga melangkaui pengurusan aset. Kami mahu menjadi rakan kongsi strategik yang menghubungkan peluang di seluruh rantau, membantu pelanggan merebut peluang baharu selain membina legasi yang berkekalan," katanya.
Haniz berkata kekayaan juga menjadi semakin mudah alih apabila pelanggan mencari peluang pelaburan dan penyelesaian kewangan merentasi pelbagai pasaran, manakala pemilik perniagaan memerlukan perkhidmatan perbankan rentas sempadan untuk menyokong pengembangan serantau.
"Semua pemacu ini, jika anda gabung kesemuanya, mampu memacu pertumbuhan besar ini dari segi arah aliran kekayaan dalam pasaran.
"Hakikat bahawa banyak bank memberi tumpuan kepada bidang ini bukanlah suatu kebetulan. Ia adalah transformasi asas atau perubahan struktur di seluruh rantau berkenaan," katanya.
Menurut Haniz lagi, CIMB Private Wealth direka untuk pelanggan yang mempunyai sekurang-kurangnya RM1 juta dalam aset di bawah pengurusan, ia merangkumkan penyelesaian pelaburan gred institusi, perkhidmatan nasihat yang diperibadikan, ketersambungan perbankan serantau dan keistimewaan eksklusif untuk membantu pelanggan mengembangkan, memelihara dan memindahkan kekayaan mereka sehingga bergenerasi.
Inisiatif itu juga menyokong cita-cita CIMB untuk menggandakan aset kekayaannya di bawah pengurusan menjelang 2030 sambil mengukuhkan hubungan pelanggan dan meletakkan kumpulan sebagai rakan kongsi perbankan utama pelanggan melalui penyelesaian perbankan bersepadu, pengurusan kekayaan dan perancangan warisan.
-- BERNAMA