Penjimatan Penyasaran Subsidi RON95 Tidak Disimpan Sebagai Lebihan Fiskal Semata-mata - MOF
KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Kerajaan menegaskan penjimatan yang terhasil daripada penyasaran subsidi petrol RON95 tidak disimpan semata-mata sebagai lebihan fiskal, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Kementerian itu menjelaskan sebaliknya, ruang fiskal yang diwujudkan dimanfaatkan semula untuk rakyat.
“Hasil daripada pelaksanaan penyasaran subsidi juga membolehkan kerajaan meningkatkan peruntukan bantuan yang bersasar kepada rakyat terbanyak dalam usaha mengukuhkan jaringan perlindungan sosial yang lebih inklusif,” menurut MOF dalam jawapan bertulis Dewan Negara yang disiarkan laman sesawang Parlimen hari ini.
MOF menjawab pertanyaan Senator Datuk Koh Nai Kwong mengenai jumlah penjimatan fiskal sejak pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 pada April 2026, sama ada disalurkan kepada Geran Peralihan PKS.
MOF memaklumkan kerajaan turut mengumumkan beberapa langkah bagi memastikan keterjaminan bekalan barangan asas dalam membantu pengeluar makanan demi kelangsungan bekalan makanan untuk rakyat antaranya melalui Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) dan Insentif Penuaian Padi.
Koh juga bertanya mengenai pelan pemulihan kerajaan berikutan terdapat 40 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) secara teknikal masih gagal bersedia untuk penguatkuasaan penuh e-Invois menjelang Julai 2026.
MOF menjelaskan kerajaan memberikan kelonggaran pelaksanaan e-Invois Fasa 4 sehingga akhir 2027 serta pengecualian interim duti import bagi pengimportan semula barangan buatan Malaysia sehingga Disember 2026.
“Bagi fasa keempat pelaksanaan e-Invois yang bermula 1 Jan, 2026, kerajaan telah memberikan empoh peralihan tambahan sehingga 31 Dis, 2027.
“Dalam tempoh peralihan, tiada penalti dikenakan dan pembayar cukai dibenar untuk mengeluarkan e-Invois disatukan secara bulanan. Kerajaan berpandangan bahawa tempoh peralihan tambahan yang diberikan ini adalah memadai untuk memastikan kelancaran pelaksanaan e-invois,” tambah MOF.
Menurut MOF sehingga kini, lebih 230,000 pembayar cukai telah menggunakan sistem e-Invois yang melibatkan pengeluaran sebanyak 1.5 bilion e-Invois secara keseluruhan.
"Ini menunjukkan tahap penerimaan yang amat baik dalam kalangan pembayar cukai dengan mematuhi pelaksanaan dan menyokong inisiatif e-Invois," tambah MOF.
-- BERNAMA