PCEB Jalin Kerjasama Dengan Enam Institusi Bagi Perkasa Bakat Industri Acara Perniagaan
GEORGE TOWN, 21 Julai (Bernama) – Biro Konvensyen & Pameran Pulau Pinang (PCEB) hari ini memeterai perkongsian strategik dengan enam institusi pengajian tinggi bagi memperkukuh penyaluran bakat bagi industri acara perniagaan di Malaysia.
Memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh PCEB itu melibatkan Kolej SENTRAL Pulau Pinang, Kolej DISTED, Kolej SEGi Pulau Pinang, UOW Malaysia Kolej Universiti KDU Pulau Pinang (Kampus Batu Kawan) dan Universiti Taylor (Kampus Lakeside).
PCEB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ashwin Gunasekeran, dan majlis itu disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai.
Ashwin berkata di bawah Program Bersekutu Acara Perniagaan (BE) PCEB, agensi itu dan rakan akademiknya komited untuk membantu pelajar serta menyokong masa depan industri acara perniagaan.
Jelasnya, kekuataan industri BE tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan jumlah persidangan yang dianjurkan, penyertaan delegasi atau kesan ekonomi yang dijana, tetapi juga oleh kualiti individu yang memimpin, menguruskan dan membentuk industri tersebut.
Katanya, kerjasama itu turut mencerminkan komitmen bersama terhadap pembangunan pelajar dan masa depan industri BE secara keseluruhan.
“Kekuatan industri kita juga bergantung kepada individu yang memimpin, dan akhirnya, individu yang akan memimpin, mengurus dan membentuknya.
“Menerusi Program Bersekutu BE ini, kami mahu pelajar mendapat lebih banyak akses kepada industri sambil meneruskan pengajian mereka,” katanya pada majlis itu di sini hari ini.
Jelasnya, pelajar sewajarnya mendapat peluang untuk menghadiri persidangan, forum dan bengkel, meneroka peluang latihan amali, dan menyertai sesi perkongsian pengetahuan, selain berinteraksi secara langsung dengan pengamal industri bagi lebih memahami sektor tersebut.
Ashwin menambah program itu direka untuk memberikan pelajar pendedahan awal kepada industri berbanding menunggu sehingga tamat pengajian, membolehkan mereka memahami mengenai penganjuran sesuatu acara, berkomunikasi dengan pelbagai pihak berkepentingan, menyelesaikan masalah di lapangan dan melihat idea dilaksanakan dalam acara sebenar.
Tambahnya, industri BE merupakan ekosistem yang pelbagai merangkumi hospitaliti, pemasaran, komunikasi, teknologi, jualan, industri kreatif dan sektor sokongan lain, yang menawarkan pelbagai laluan kerjaya bagi graduan.
Sementara itu, Wong berkata perkongsian itu merupakan pelaburan strategik bagi meningkatkan daya saing masa depan Pulau Pinang, memandangkan acara perniagaan terus menjadi antara segmen bernilai tinggi dalam industri pelancongan.
“Daya saing masa depan kita bukan ditentukan oleh acara yang dianjurkan, tetapi oleh individu yang berjaya dipupuk.
“Infrastruktur boleh menarik acara, tetapi individu yang berbakat mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan, membina reputasi berpanjangan dan memastikan pengunjung terus datang,” katanya.
Beliau berkata kerjasama itu akan memperkukuh ekosistem bakat dengan menyediakan pelajar pendedahan praktikal industri sambil meningkatkan hubungan antara ahli akademik dan industri, menyokong aspirasi Pulau Pinang untuk kekal sebagai salah satu destinasi acara perniagaan terkemuka di Asia.
-- BERNAMA