Kerajaan Perinci Cadangan Perundangan Bendung Amalan Rent-Seeking Atau Ali Baba
PUTRAJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi sedang memperincikan cadangan kerangka perundangan bagi membendung amalan ‘rent-seeking’ atau konsep ‘Ali Baba,’ termasuk menilai keperluan penggubalan undang-undang baharu atau menambah baik peruntukan sedia ada.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Ekonomi memaklumkan langkah berkenaan juga selari dengan usaha Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) bagi memperkukuh tindakan menangani aktiviti perniagaan tidak sah melibatkan warga asing serta mempercepat reformasi peraturan bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang adil, telus dan berdaya saing.
Keputusan itu telah dicapai pada Mesyuarat PEMUDAH Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Penasihat Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia Datuk Dr Ameer Ali Mydin.
Menurut kementerian, mesyuarat berkenaan meneliti isu penyalahgunaan pas imigresen atau visa, penggunaan proksi, penyewaan lesen serta amalan rent-seeking atau Ali Baba oleh warga asing yang menjejaskan persaingan adil dan kelangsungan peniaga tempatan.
"(Sehubungan itu) mesyuarat bersetuju dengan strategi intervensi berasaskan pendekatan pematuhan, pemantauan dan pemerkasaan, merangkumi pengukuhan pematuhan vendor, perkongsian data dan penguatkuasaan bersepadu antara agensi, pemantauan berasaskan risiko serta usaha peningkatan keupayaan industri untuk mengenal pasti dan melaporkan ketidakpatuhan.
"Kementerian Sumber Manusia bersama agensi kerajaan berkaitan akan memperincikan dan menyelaras tindakan susulan," menurut kementerian itu.
Selain itu, mesyuarat turut mengambil maklum peningkatan kedudukan Malaysia daripada tangga ke-23 pada 2025 kepada tangga ke-15 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) International Institute for Management Development (IMD) 2026.
Penarafan itu melibatkan 70 ekonomi dan menilai prestasi berdasarkan empat faktor utama iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur.
Pada masa sama, Kementerian Ekonomi memaklumkan PEMUDAH akan meneruskan reformasi peraturan secara lebih berfokus bagi meningkatkan kecekapan kerajaan, menambah baik kualiti kawal selia dan memudahkan urusan perniagaan, termasuk melalui penyelarasan dengan kerangka ‘Business Ready.’
“Usaha itu selaras dengan sasaran menempatkan Malaysia dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing dunia menjelang 2030.
“PEMUDAH yang diurusetiakan bersama Kementerian Ekonomi dan Perbadanan Produktiviti Malaysia, juga komited melaksanakan reformasi peraturan serta meningkatkan produktiviti dan daya saing negara menerusi penyelesaian yang praktikal, berimpak tinggi dan berorientasikan hasil,” menurut kementerian itu.
-- BERNAMA