Ringgit, Mata Wang Serantau Dijangka Hadapi Tekanan Minggu Depan
Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Ringgit dan mata wang serantau lain dijangka akan mengalami tekanan minggu depan, dengan mata wang tempatan itu dilihat diniagakan antara RM4.04 dan RM4.06 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Ia susulan data gaji bukan ladang (NFP) AS yang lebih kukuh daripada jangkaan yang dikeluarkan telah meningkatkan kemungkinan berlaku kenaikan kadar faedah AS, sekali gus mengukuhkan dolar AS.
Perhatian pasaran akan terus tertumpu pada data ekonomi AS yang akan datang, terutamanya laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) Jumaat depan yang secara meluas dilihat sebagai penentu utama keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS yang seterusnya.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata IHP AS akan menjadi titik data kritikal apabila ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) bersidang semula pada minggu berikutnya untuk membincangkan Kadar Dana Fed, kini berada pada 3.50 hingga 3.75 peratus.
"NFP yang kukuh pada bulan Ogos menunjukkan bahawa Fed AS berkemungkinan akan menaikkan kadar faedah penanda arasnya dalam mesyuarat FOMC yang akan datang pada 15 September dan 16 September," katanya kepada Bernama.
NFP berada pada 162,000 pada bulan Ogos, jauh melebihi ramalan konsensus sebanyak 55,000.
Bagi minggu yang baru berakhir, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada mesyuaratnya pada Khamis.
Menurut MPC tahap OPR pada masa ini konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Jawatankuasa itu memaklumkan ia akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai keseimbangan risiko yang berkaitan dengan prospek inflasi dan pertumbuhan domestik.
Bagi minggu yang baru berakhir ini ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.0425/0465 daripada 4.0230/0270 pada minggu sebelumnya.
Unit tempatan juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.
Ringgit menyusut berbanding pound British kepada 5.4663/4717 daripada 5.4632/4687 pada Jumaat minggu sebelumnya, turun berbanding yen Jepun kepada 2.5832/5860 daripada 2.5193/5219 dan merosot berbanding euro kepada 4.6962/7008 daripada 4.6828/6874.
Unit tempatan juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Ringgit mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.46/6.47 daripada 6.54/6.55 pada minggu sebelumnya, tetapi turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1888/1923 daripada 3.1652/1686 sebelumnya, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 229.1/229.4 daripada 227.3/227.7, dan terus merosot berbanding baht Thai kepada 12.2693/2863 daripada 12.2087/2253.
-- BERNAMA