BERITA TERKINI   PM umum sumbangan RM2 juta kepada Institut Pemikiran Al-Qaradawi | Dewan Negara lulus Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 | 

Skim Pembuatan Pintar Baharu Perluas Akses Modal Untuk PKS, Syarikat Pertengahan

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan skim Pembuatan Pintar untuk memudah cara akses modal yang lebih luas, menyokong pertumbuhan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat peringkat pertengahan (MTC) dalam sektor-sektor strategik.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak itu memaklumkan skim strategik baharu berkenaan, bersama-sama nisbah pelaburan bersama yang dipertingkatkan, adalah di bawah Dana Pelaburan Bersama Strategik Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (CoSIF NIMP).

Skim baharu ini menampilkan nisbah pelaburan CoSIF NIMP kepada pelaburan swasta sebanyak 2:1, di mana kerajaan menyumbang RM2 bagi setiap RM1 yang diperoleh daripada pelabur swasta.

Ad Banner

Nisbah yang dipertingkatkan ini akan tersedia sehingga 2030, menurut kenyataan itu.

“Skim ini direka untuk syarikat yang layak yang menjalankan transformasi pembuatan pintar, menyokong perniagaan yang melaksanakan automasi, menerima pakai Industri 4.0, pendigitalan dan inisiatif lain yang dapat meningkatkan produktiviti,” tambahnya.

Di samping itu, nisbah pelaburan CoSIF NIMP untuk pelaburan swasta bagi ‘sektor-sektor lain’ akan dinaikkan sementara daripada 1:2 kepada 1:1 sehingga akhir 2027, sekali gus menyediakan sokongan pembiayaan segera kepada PKS dan MTC dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan pasaran semasa.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Langkah ini bertujuan mempercepatkan penggunaan modal di seluruh sektor di samping memperkukuh sokongan pembiayaan untuk PKS dan MTC Malaysia yang berkembang pesat,” tambah kenyataan itu.

Dengan nisbah yang dipertingkatkan ini, kerajaan akan menyumbang RM1 bagi setiap RM1 yang diperoleh, sekali gus menyelaraskan nisbah pelaburan bersama itu dengan ‘sektor keutamaan’ dan ‘sektor pertumbuhan baharu’ di bawah NIMP 2030.

“Kami percaya intervensi strategik ini akan membantu syarikat mengekalkan pertumbuhan, memperkukuh daya tahan dan terus berkembang di dalam sektor-sektor NIMP,” jelas MITI dan SC.

CoSIF NIMP ialah skim pelaburan bersama awam-swasta di mana kerajaan melabur bersama pelabur swasta pada nisbah yang telah ditetapkan dalam perniagaan yang beroperasi di seluruh 25 sektor yang ditekankan dalam NIMP 2030.

CoSIF NIMP juga memanfaatkan platform pendanaan awam dan pembiayaan rakan setara. Sejak penubuhannya, ia telah memudah cara pengumpulan dana awam-swasta berjumlah RM185 juta untuk 40 syarikat Malaysia setakat akhir Jun 2026.

-- BERNAMA