DANA PLUS Percepat Kelulusan Pembiayaan Mikro Dari 14 Hingga 21 Hari Kepada 48 Jam
KLANG, 21 Julai (Bernama) -- Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) melancarkan aplikasi digital DANA PLUS yang membolehkan tempoh kelulusan pembiayaan mikro sehingga RM10,000 dipendekkan dari 14 hingga 21 hari kepada hanya 48 jam.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata aplikasi itu merupakan satu langkah penting dalam mempercepat agenda pendigitalan perkhidmatan awam, di samping memperkukuh akses pembiayaan kepada usahawan menerusi sistem yang lebih pantas, cekap dan selamat.
"Melalui DANA PLUS, keseluruhan proses permohonan pembiayaan mikro Yayasan Hijrah Selangor kini dilaksanakan secara 100 peratus digital, bermula daripada permohonan, pengesahan identiti (e-KYC), semakan dan kelulusan pembiayaan, tandatangan perjanjian secara digital (e-Signature) sehinggalah kepada pembayaran balik melalui Auto Debit.
"Tempoh kelulusan bagi pembiayaan sehingga RM10,000 yang sebelum ini mengambil masa antara 14 hingga 21 hari kini dapat diselesaikan dalam tempoh 48 jam, malah rekod terpantas yang pernah dicapai hanyalah empat jam," katanya di platform media sosial Facebook selepas melancarkan aplikasi itu di sini hari ini.
Amirudin berkata DANA PLUS turut menjadi platform utama bagi menyalurkan peruntukan pembiayaan mikro berjumlah RM32 juta yang diumumkan menerusi Belanjawan Selangor 2026 dan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2.
Beliau berkata sejak fasa perintis bermula pada Januari 2025, DANA PLUS telah menerima 4,436 permohonan dengan 3,237 daripadanya diluluskan melibatkan pembiayaan melebihi RM70 juta.
"Bagi pembiayaan sehingga RM10,000, kadar kelulusan mencecah 82.9 peratus, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan digital yang lebih cekap, pantas dan mesra pengguna," katanya.
Sejak ditubuhkan pada 2015 sehingga Jun tahun ini, Hijrah Selangor telah menyalurkan 94,500 pembiayaan kepada lebih 62,400 usahawan dengan nilai keseluruhan RM921 juta.
Terdahulu pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Aplikasi Digital DANA PLUS, Amirudin berkata pembiayaan mikro Hijrah Selangor telah membantu lebih 64,000 usahawan daripada terjerat dengan pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ah long sejak diperkenalkan pada 2015.
"Bayangkan nasib lebih 60,000 peminjam itu jika tidak dapat pinjaman mikro, manakala faedah yang dikenakan pihak bank juga agak tinggi. Jadi pembiayaan Hijrah Selangor pilihan yang ada pada mereka, sekali gus menghindari mereka membuat pinjaman dengan lintah darat ataupun dalam istilah lain orang sebut ah long.
"Kewujudan kemudahan pinjaman mikro ini telah menyelamatkan peniaga kecil daripada risiko terjerat dengan kadar faedah pinjaman yang tinggi," tambahnya.
-- BERNAMA