BERITA TERKINI   MB Johor hari ini umum pelantikan 10 Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri | 

Harga MSM Dijangka RM4,400 Hingga RM4,650 Satu Tan Pada Ogos - MPOC

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Harga minyak kelapa sawit mentah (MSM) dijangka diniagakan antara RM4,400 hingga RM4,650 satu tan metrik pada Ogos, disokong oleh pelaksanaan biodiesel B50 Indonesia bermula Julai, pasaran tenaga lebih kukuh serta ekonomi biodiesel yang semakin baik.

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) memaklumkan bahawa ketegangan baharu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran telah melonjakkan harga minyak gas sebanyak 30 peratus antara awal hingga pertengahan Julai, menjadikannya lebih mahal berbanding minyak sawit dan minyak soya.

"Bagaimanapun, kenaikan harga selanjutnya berkemungkinan terhad disebabkan permintaan lebih perlahan dan stok minyak tumbuhan yang tinggi di pasaran pengguna utama," menurut satu kenyataan dikeluarkan MPOC.

Ad Banner

Menurut MPOC, prospek bekalan minyak sawit Malaysia kekal positif dalam tempoh terdekat, susulan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan pengeluaran stabil pada separuh pertama 2026, manakala stok meningkat kepada 2.5 juta tan pada Jun.

Pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat lapan peratus bulan ke bulan kepada 1.63 juta tan pada Jun 2026, mencerminkan peningkatan kitaran pengeluaran musiman yang biasanya bermula pada Mac, menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, menurut MPOC, output Jun 2026 kekal tiga peratus lebih rendah berbanding Jun 2025, sekali gus mencatatkan penurunan tahun ke tahun bagi bulan keempat berturut-turut.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Eksport juga meningkat 6.1 peratus bulan ke bulan kepada 1.20 juta tan pada Jun 2026, walaupun volumnya kekal empat peratus di bawah paras Jun 2025.

"Prestasi yang lebih lemah ini berpunca daripada penggunaan minyak dan lemak lebih perlahan di pasaran utama seperti China dan India berikutan kesan konflik Asia Barat yang masih berlanjutan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, MPOC memaklumkan bahawa pengeluaran biji benih minyak dijangka terus berkembang secara global, namun pertumbuhan bagi tiga biji benij minyak utama diramal perlahan pada musim 2026-2027.

Jumlah pengeluaran gabungan kacang soya, biji bunga matahari dan kanola diunjurkan meningkat sebanyak 16.5 juta tan sahaja berbanding tahun sebelumnya, jauh di bawah purata peningkatan tahunan sebanyak 22.7 juta tan dicatatkan sejak empat tahun lepas.

"Kebergantungan global terhadap minyak soya, minyak bunga matahari dan minyak kanola telah meningkat sejak 2019 dalam persekitaran bekalan minyak sawit boleh eksport yang semakin terhad dari Asia Tenggara.

"Pertumbuhan pengeluaran biji benih minyak yang lebih perlahan, bersama dengan peningkatan berterusan dalam permintaan minyak tumbuhan, terutamanya daripada sektor bahan biobahan api, dijangka kekal menyokong harga minyak tumbuhan," menurut MPOC.

Meskipun terdapat perkembangan jangka panjang yang menyokong ini, MPOC memaklumkan bahawa permintaan minyak tumbuhan jangka pendek kekal sederhana di seluruh pasaran pengimport utama.

Dalam pada itu, stok minyak tumbuhan di India kekal tinggi walaupun import bertambah perlahan, sekali gus menunjukkan penggunaan yang lebih lemah dalam persekitaran tekanan inflasi.

"Bagaimanapun, aktiviti menambah semula stok menjelang sambutan Deepavali mungkin menyokong permintaan, memandangkan India biasanya mengimport kira-kira 30 peratus daripada keperluan minyak tumbuhan tahunannya antara Julai dan September.

"Minyak sawit kekal sebagai minyak tumbuhan utama dengan harga paling berdaya saing, menjadikannya berada pada kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada aktiviti penambahan stok musiman menjelang Deepavali," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA