BERITA TERKINI   PRN NS: Semua pihak harus berkempen secara sihat berasaskan idea dan fakta, bukan fitnah atau perbuatan khianat - Fahmi | PM Singapura Wong umum perubahan Kabinet dan pelantikan politik lain - PMO | Malaysia tetap pertahan kedaulatan negara sekat kemasukan warga Israel, tidak tunduk gertakan wakil kongres AS- PM Anwar | Pengambilan pelajar matrikulasi tanpa kira kaum, latar belakang sosioekonomi penting bagi pastikan akses pendidikan lebih adil - PM | Dewan Negara lulus Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 | 

BEZ Malaysia-Thailand Mampu Pacu Dagangan, Kurangkan Kos Logistik -- Ahli Ekonomi

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Cadangan pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand (BEZ) berpotensi memberi impak ketara dari segi pengukuhan hubungan dagangan dua hala dan kemajuan ekonomi serantau, kata ahli ekonomi.

Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata pada masa sama, sebarang penambahbaikan infrastruktur sempadan juga dijangka dapat mengurangkan kos logistik, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan serta menarik lebih banyak pelaburan.

Ad Banner

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata ini berikutan kira-kira 40 peratus daripada perdagangan Malaysia dan Thailand dijalankan melalui pengangkutan kargo rentas sempadan, sekali gus menjadikan kecekapan infrastruktur di pintu sempadan sebagai pemacu utama pertumbuhan perdagangan pada masa depan.

Projek seperti cadangan pembinaan jambatan kedua Rantau Panjang–Sungai Golok, penambahbaikan jaringan rel serta prosedur kastam dijangka dapat mengurangkan kos logistik dan memendekkan lagi tempoh transit.

Beliau berkata inisiatif BEZ juga dapat memanfaatkan hubungan ekonomi kukuh antara kedua-dua negara jiran itu dengan nilai hubungan dagangan dua hala dilaporkan mencecah US$27.7 bilion pada 2025.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ini menunjukkan Malaysia dan Thailand hanya memerlukan pertumbuhan yang sederhana bagi mencapai sasaran US$30 bilion menjelang 2027, katanya.

“Sasaran itu mampu dicapai, namun bergantung kepada pelaksanannya. Perdagangan hanya perlu berkembang kira-kira 4.0-5.0 peratus setahun untuk meraih (sasaran) US$30 bilion.

“Kedua-dua kerajaan telah meletakkan sasaran itu sebagai teras kerjasama ekonomi dua hala dan mewujudkan mekanisme bagi menggalakkan perdagangan serta pelaburan,” katanya.

Barjoyai juga menyifatkan peluang pertumbuhan kukuh itu turut membabitkan sektor pelancongan, pertanian, produk halal, semikonduktor, logistik, tenaga dan ekonomi digital.

“Bagi mencapai sasaran ini, projek-projek yang telah diumumkan perlu digerakkan untuk dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata sektor logistik dan pengangkutan berkemungkinan besar menjadi penerima manfaat terbesar apabila penambahbaikan jalan raya, laluan rel, pelabuhan dan proses pelepasan kastam akan mengurangkan kos pengangkutan selain meningkatkan jumlah kargo.

Cadangan untuk menghidupkan semula projek-projek rel dan jambatan sempadan juga secara langsung menyokong sektor terbabit.

Pada 14 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembangunan BEZ Malaysia-Thailand akan memberi akses lebih meluas untuk barangan Malaysia terhadap pasaran Laos, Kemboja dan Vietnam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata eksport Malaysia, terutama produk perikanan dan pertanian yang sebelum ini berdepan sekatan kastam Thailand ketika melalui negara itu untuk dihantar ke pasaran berkenaan, namun Bangkok telah menyatakan persetujuan untuk melonggarkan syarat-syarat berkenaan.

Beliau menyifatkan kelonggaran itu dapat mewujudkan lebih banyak peluang perdagangan bagi sektor perikanan dan pertanian Malaysia dengan memberi kelancaran pergerakan barangan melalui prosedur kastam.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata Thailand misalnya sejak sekian lama melihat zon ekonomi sempadan sebagai penyumbang penting pertumbuhan ekonomi, sekali gus menekankan kepentingan integrasi ekonomi lebih erat antara kedua-dua negara.

Beliau berkata produk makanan dan minuman menyumbang sebahagian besar daripada jumlah perdagangan rentas sempadan antara kedua-dua negara dan diikuti dengan produk elektrik dan elektronik.

Pergerakan dagangan yang melintasi pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, Padang Besar and Durian Burung turut menyumbang secara ketara ke atas perdagangan dua hala, terutama negeri-negeri seperti Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.

“Pembangunan jaringan hubungan rel dan pelabuhan darat akan hanya mengukuhkan lagi pertumbuhan perdagangan dua hala,” katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Ridhuan berkata aspek keselamatan kekal menjadi pertimbangan penting, terutama di beberapa daerah di selatan Thailand yang masih di bawah langkah-langkah keselamatan.

Beliau turut menegaskan keperluan bagi Malaysia dan Thailand mencapai persefahaman bersama berkaitan isu-isu utama seperti insentif pelaburan, pergerakan tenaga kerja serta aliran barangan dan perkhidmatan.

“Insentif yang disediakan pula perlu disesuaikan atau khusus mengikut kekuatan setiap lokasi sempadan berbanding menggunapakai pendekatan sama rata untuk semua.

“Sebagai contoh, Perlis misalnya sudah mempunyai sebuah pelabuhan darat, Bukit Kayu Hitam mencatatkan pergerakan kargo yang tinggi manakala Durian Burung berperanan penting dari segi pergerakan buah-buahan.

“Berikutan itu, pengaturan mengenai pergerakan tenaga kerja dan insentif cukai sepatutnya dirangka mengikut keperluan setiap lokasi berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA