CelcomDigi Tawar Hadiah Bernilai RM20 Juta, Lancar Kempen Hargai Pelanggan
KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- CelcomDigi Bhd melancarkan kempen ganjaran pelanggan dengan menawarkan hadiah bernilai RM20 juta sebagai tanda penghargaan susulan pencapaiannya mencapai 20 juta pelanggan.
Kempen dinamakan “Mega Gegar 20 Juta” itu akan berlangsung dari 23 Julai hingga 30 September, 2026.
Ketua Jenama Korporat dan Komunikasi Pemasaran CelcomDigi, Fara Aida Dahlan berkata kempen itu menampilkan Kotak Misteri Digital dalam aplikasi CelcomDigi yang boleh dibuka oleh pelanggan dengan membuat urus niaga berjumlah RM20 dan ke atas.
“Sebagai contoh, mereka boleh mendaftar untuk pelan CelcomDigi atau melanggan perkhidmatan penstriman kami. Sebarang transaksi RM20 dan ke atas akan membolehkan mereka membuka Kotak Misteri ini dalam aplikasi CelcomDigi,” katanya pada taklimat media di sini, hari ini.
Fara Aida berkata kempen itu menawarkan 20 hadiah utama dan lebih 70,000 hadiah bonus.
“Kami juga menawarkan destinasi pelancongan tempatan dan antarabangsa untuk dimenangi, dan akan memberikan akses ke beberapa konsert berskala besar di Malaysia,” katanya.
Selain itu, CelcomDigi turut menganjurkan penstriman langsung selama 42 jam di platform media sosial, TikTok dan YouTube dari 31 Julai pada 12 tengah malam hingga 1 Ogos pada pukul 6 petang.
“Semasa penstriman langsung itu, terdapat pelbagai tawaran mega untuk dinikmati pelanggan. Apa yang menarik, harga ditawarkan sangat murah, dengan tawaran bermula serendah RM90. Kami berharap rakyat Malaysia akan terus menyaksikan penstriman langsung 42 jam ini, ia akan melibatkan 16 kedai terpilih di seluruh negara,” katanya.
Hadiah di bawah kempen itu termasuk peranti Samsung, kenderaan elektrik Proton, e.MAS 7, pengalaman pelancongan, pakej Ubah Suai Rumah Smart AI (kecerdasan buatan), langganan hiburan, pas perayauan (roaming) dan ganjaran Internet.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melawat https://cdlink.net/mega-gegar-20-juta.
-- BERNAMA