BERITA TERKINI   Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan akan kekal hingga PRU 16 - PM Anwar | Kerajaan akan menaikkan jumlah bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam masa terdekat - PM Anwar | 

Untung Bersih Eco-Shop Meningkat Kepada RM264.56 Juta Bagi Tahun Kewangan 2026

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Untung bersih Eco-Shop Marketing Bhd meningkat kepada RM264.56 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei, 2026 daripada RM205.03 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2025.

Perolehan turut menokok sebanyak 4.6 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada RM2.91 bilion daripada RM2.78 bilion sebelumnya, dipacu oleh penambahan 91 cawangan baharu.

Sehubungan itu, bilangan transaksi jualan bertambah 8.1 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 124.1 juta.

Ad Banner

Eco-Shop menyatakan pertumbuhan perolehan berkenaan diterjemahkan kepada untung kasar yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM969.7 juta.

“Margin untung kasar naik kepada 33.3 peratus pada tahun kewangan 2026 daripada 28.2 peratus pada tahun kewangan 2025 disokong oleh pelarasan harga jualan, gabungan produk yang lebih menguntungkan serta pengukuhan ringgit Malaysia,” jelasnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pada suku keempat tahun kewangan 2026, untung bersih Eco-Shop melonjak kepada RM72.62 juta daripada RM50.11 juta pada suku keempat 2025 manakala perolehan mencatatkan RM772.89 juta daripada RM688.97 juta sebelumnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Lembaga pengarahnya turut mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.6 sen sesaham yang akan dibayar pada 27 Ogos, 2026.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya Jessica Ng berkata syarikat itu menutup tahun kewangan 2026 dengan cemerlang, mencatatkan rekod prestasi kewangan terbaik selain mencapai kejayaan bermakna dengan pembukaan 100 cawangan baharu sepanjang tahun kewangan berkenaan.

“Ini mencerminkan kekuatan model perniagaan kami yang boleh dipertingkatkan, pelaksanaan yang berdisiplin serta keupayaan kami untuk memenuhi permintaan pengguna yang semakin bertambah terhadap produk berkualiti pada harga yang berpatutan.

“Walaupun berdepan tekanan kos yang berterusan, kami berjaya menambah baik margin melalui pengurusan kos, kecekapan operasi dan inisiatif penyumberan strategik sekali gus membuktikan daya tahan model operasi kami,” katanya.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata syarikat itu merancang untuk membuka 100 lagi cawangan baharu pada tahun kewangan 2027 selain mempercepatkan program naik taraf cawangannya bagi meningkatkan pengalaman membeli-belah pelanggan.

-- BERNAMA