BERITA TERKINI   Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan akan kekal hingga PRU 16 - PM Anwar | Kerajaan akan menaikkan jumlah bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam masa terdekat - PM Anwar | 

United Plantations Catat Untung Bersih Lebih Rendah Pada Suku Kedua Kepada RM194 Juta

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Keuntungan bersih United Plantations Bhd (United Plantations) bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2026 (S2 TK2026) menyusut kepada RM194.00 juta, berbanding RM249.38 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas. 

Menurut United Plantations dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, perolehan meningkat kepada RM641.84 juta pada suku kedua Tahun Kewangan 2026 daripada RM638.42 juta dalam suku yang sama tahun lepas. 

Tambahnya, keuntungan bersih bagi separuh pertama yang berakhir pada 30 Jun 2026 (S1 TK2026) merosot kepada RM354.66 juta daripada RM412.64 juta sebelumnya.

Ad Banner

Bagaimanapun perolehan meningkat kepada RM1.28 bilion daripada RM1.16 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas. 

Menurut syarikat perladangan minyak sawit itu, keuntungan bersih yang lebih rendah terutamanya disebabkan oleh prestasi yang lebih lemah dalam segmen perladangan dan penapisannya. 

Segmen perladangan terjejas berikutan harga yang ditetapkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) adalah lebih rendah sepanjang tempoh itu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara, segmen penapisan pula mencatatkan prestasi lebih lemah oleh margin penapisan yang lebih rendah dan kerugian perlindungan nilai tukaran asing tertanggung pada suku tersebut. 

Tambahnya, pertumbuhan perolehan didorong terutamanya oleh segmen penapisan, disokong oleh jumlah jualan penapisan yang lebih tinggi. 

“Perolehan daripada segmen penapisan meningkat sebanyak 15.7 peratus kepada RM864.20 juta dalam tempoh semasa, berbanding RM746.90 juta dalam tempoh yang sama, didorong terutamanya oleh jumlah jualan yang tinggi,” katanya. 

Syarikat itu menjelaskan bahawa ia akan terus memantau perkembangan dalam pasaran tenaga global, pelaksanaan program biodiesel Indonesia, keadaan cuaca di seluruh wilayah pengeluar minyak sayuran utama, dan potensi berlakunya El Nino yang kuat pada akhir tahun ini di Indonesia, Malaysia dan Thailand. 

“Pengeluaran minyak sawit mentah di Malaysia hanya meningkat sedikit sepanjang tempoh enam bulan pertama 2026 berbanding tempoh yang sama tahun lepas, disokong oleh situasi buruh yang stabil dan keadaan cuaca yang secara amnya menggalakkan, tanpa sebarang kesan yang ketara daripada El Nino yang dialami setakat ini,” katanya. 

Menurut United Plantations, pihak pengurusannya kekal fokus terhadap kecemerlangan operasi menerusi amalan agronomi yang berdisiplin, inisiatif mekanisasi yang berterusan dan penanaman semula kawasan kelapa sawit yang lebih tua dan kurang produktif dengan bahan penanaman terkini.

Tambahnya, usaha mengekalkan hasil yang tinggi, meningkatkan produktiviti dan membendung kos kekal sebagai keutamaan utama syarikat itu dalam melindungi daya saing kumpulan di tengah-tengah tekanan berterusan susulan peningkatan kos buruh dan tenaga.

-- BERNAMA