RHB IB Mulakan Saranan ‘Beli’ Terhadap Gas Malaysia Atas Prospek MRP, RGT4
KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) memulakan liputan terhadap Gas Malaysia Bhd (GMB) dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) sebanyak RM6.50.
Ia didorong oleh jangkaan harga gas yang lebih tinggi serta prospek pertumbuhan daripada rancangan projek Terminal Regasifikasi 4 (RGT4).
Dalam laporan penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu menyatakan GMB bakal mendapat manfaat daripada harga rujukan Malaysia (MRP) yang lebih tinggi yang bergerak seiring dengan harga minyak mentah Brent.
Susulan lonjakan harga minyak pada suku kedua akibat konflik Asia Barat, RHB mengunjurkan MRP akan meningkat sebanyak 26 peratus tahun ke tahun pada suku keempat memandangkan terdapat sela masa selama sembilan bulan terhadap pergerakan harga minyak Brent.
"Kami mengunjurkan impak yang lebih ketara pada 2027 dan mengunjurkan MRP meningkat sebanyak 28 peratus tahun ke tahun seiring dengan kenaikan 21 peratus dalam harga minyak Brent pada 2026," jelasnya.
RHB IB menyatakan rancangan projek RGT4 syarikat tersebut di Yan, Kedah adalah amat penting bagi menjamin bekalan gas yang stabil ke loji-loji gas baharu yang akan mula beroperasi pada 2030.
Ia mengambil kira sumbangan sebanyak 49 sen sesaham daripada cadangan projek itu ke dalam penilaiannya terhadap GMB, menurut bank pelaburan berkenaan.
RHB IB menegaskan sebagai pengendali tunggal rangkaian Sistem Pengagihan Gas Asli (NGDS), GMB menerima tarif 20 peratus bagi Tempoh Kawal Selia 3 (RP3 – 2026-2028) yang dijangka menyediakan asas pendapatan yang stabil untuk perniagaan dikawal selianya.
Pada masa yang sama, ia memaklumkan terdapat ruang untuk peningkatan sebanyak 10 peratus lagi bagi TP saham GMB sekiranya kapasiti regasifikasi gas tambahan daripada RGT4 diperuntukkan kepada bahagian penghantaran gas GMB.
RHB IB mengunjurkan pendapatan GMB akan berkembang sebanyak empat peratus pada tahun kewangan 2026 sebelum memecut kepada 16 peratus pada tahun kewangan 2027.
Ia didorong oleh MRP yang lebih tinggi dan permintaan gas yang lebih kukuh sekali gus diterjemahkan kepada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) pendapatan sebanyak enam peratus bagi tempoh tahun kewangan 2025 sehingga tahun kewangan 2028.
RHB IB menyatakan risiko penurunan terhadap saranannya termasuklah MRP yang lebih rendah daripada jangkaan, persaingan dalam kalangan penghantar gas serta kelewatan dalam pentauliahan RGT4.
-- BERNAMA