Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Berikutan Aktiviti Pengambilan Untung
Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung apabila pasaran kehilangan momentum, kata seorang pakar industri.
Ketua penyelidikan komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata permintaan eksport perlahan dan perbezaan jurang harga minyak sawit yang kecil berbanding minyak kacang soya menyebabkan permintaan beralih kepada minyak pesaing itu.
Beliau berkata kenaikan stok disebabkan oleh penurunan sedikit pengeluaran dan eksport yang terus merosot.
“Pasaran juga sedang menunggu pengumuman Lembaga Minyak Sawit Malaysia bagi bulan Ogos 2026 pada Khamis ini yang mana stok minyak sawit Malaysia dijangka meningkat kepada 2.73-2.78 juta tan, naik empat hingga enam peratus berbanding Julai 2026,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, Bagani berkata memandangkan harga rujukan Oktober minyak sawit Indonesia dijangka meningkat, duti eksport minyak sawit negara itu akan menjadi lebih tinggi manakala levi bersih yang perlu dibayar juga akan meningkat.
“Ini memberikan prospek positif bagi harga minyak sawit Malaysia,” katanya.
Sementara itu, pedagang proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata harga tenaga yang lebih tinggi telah mengehadkan penurunan harga komoditi tersebut.
“Kami melihat harga disokong melebihi RM4,900 setiap tan dan paras rintangan pada RM5,080 setiap tan,” katanya.
Pada penutup sesi dagangan, kontrak September 2026 dan Oktober 2026 turun RM19 masing-masing kepada RM4,669 dan RM4,787 setiap tan, manakala kontrak November 2026 susut RM10 kepada RM4,966 setiap tan.
Kontrak Disember 2026 berkurangan RM6 kepada RM5,109 setiap tan, Januari 2027 susut RM4 kepada RM5,220 setiap tan, dan Februari 2027 turun RM1 kepada RM5,300 setiap tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 337,207 lot daripada 120,701 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka menambah kepada 797,610 kontrak daripada 336,966 kontrak sebelumnya.
Harga fizikal MSM bagi Selatan September turun RM20 kepada RM4,680 setiap tan.
-- BERNAMA