Hasil Industri Telekomunikasi Mudah Alih Diunjur Naik Dua Hingga Tiga Peratus Pada 2026
KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Industri telekomunikasi mudah alih dijangka mencatatkan hasil yang meningkat sedikit antara dua hingga tiga peratus pada 2026 disebabkan pemulihan pasaran yang mambantu mengurangkan kesan perakaunan ekuiti ke atas kerugian bersih Digital Nasional Bhd (DNB).
Menurut CIMB Securities, Kementerian Kewangan mungkin menyelesaikan pemindahan saham DNB kepada syarikat telekomunikasi pada suku ketiga 2026.
“Kami mengunjurkan kerugian bersih DNB masing-masing pada RM700 juta, RM500 juta dan RM300 juta bagi tahun kewangan 2026, tahun kewangan 2027 dan tahun kewangan 2028, dengan setiap syarikat telekomunikasi menerima kesan ke atas pendapatan mereka selama tiga bulan pada tahun kewangan 2026,” tambahnya.
Cabang penyelidikan CIMB itu turut menjangkakan pertumbuhan hasil tetap adalah baik antara tiga hingga lima peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada separuh kedua 2026, dipacu oleh perniagaan borong domestik dan antarabangsa.
Tetapi, pertumbuhan itu mungkin sedikit terjejas berikutan kelewatan dalam melancarkan Kabel Asia Link sehingga penghujung 2026.
“Dari segi kos, kesan daripada program Prihatin kakitangan Telekom Malaysia pada separuh kedua 2026 mungkin lebih kecil daripada jangkaan, dengan pendapatan utama sebelum faedah dan cukai bagi tahun kewangan 2026 mengatasi unjuran pertumbuhan mendatar tahun ke tahun,” tambahnya.
-- BERNAMA