Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Kebanyakannya, Dipacu Harga Tenaga Stabil, Mandat B50
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi kebanyakannya pada Jumaat, dipacu kestabilan harga tenaga serta peningkatan niaga hadapan minyak makan yang menjadi pesaing.
Prestasi positif itu turut didorong oleh bekalan Indonesia yang dijangkakan terhad susulan pelaksanaan mandat biodiesel B50.
Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata kontrak penanda aras meneruskan momentum meningkat apabila sentimen pasaran terus disokong oleh niaga hadapan olein sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) yang kukuh di Bursa Komoditi Dalian, dasar biodiesel Indonesia dan permintaan baharu dari China.
Beliau berkata diskaun minyak sawit berbanding minyak gas melebar kepada US$445 satu tan manakala harganya kekal kompetitif berbanding minyak kacang soya, minyak sesawi dan minyak bunga matahari, menjadikan minyak tropika lebih menarik kepada pembeli.
“Fenomena cuaca El-Nino terus menyokong sentimen kenaikan kukuh berterusan harga minyak sawit namun impak serta-merta daripadanya masih belum dapat dilihat bagi pengeluaran minyak sawit di rantau tropika,” katanya kepada Bernama.
Pada akhir dagangan, kontrak bagi serahan Ogos 2026 susut RM5 kepada RM4,591 satu tan, September 2026 menambah RM14 kepada RM4,677 satu tan serta Oktober 2026 meningkat RM12 kepada RM4,722 satu tan.
November 2026 menokok RM12 kepada RM4,753 satu tan, Disember 2026 meningkat RM11 kepada RM4,779 sau tan dan Januari 2027 naik RM7 kepada RM4,800 satu tan.
Jumlah dagangan turun kepada 118,819 lot daripada 137,068 lot semalam manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 306,540 kontrak daripada 300,098 kontrak.
Harga MSM fizikal untuk Ogos Selatan naik RM10 kepada RM4,610 satu tan daripada angka pada Khamis.
-- BERNAMA