BERITA TERKINI   Piala FA: Penang FC 2-1 Melaka FC (agregat 3-1) | Malaysia tawar bantuan tangani kebakaran hutan dan tanah Indonesia termasuk operasi ‘water bombing’ dan pembenihan awan - Arthur | Malaysia hormati kedaulatan Indonesia, sedia perinci penyelarasan bantuan jika tawaran diterima - Arthur Kurup | Polis Sarawak sahkan identiti lima mangsa nahas helikopter Flying Doctor di Long Lelang, Baram | Nahas helikopter FDS : Ujian DNA akan dijalankan, bantu proses pengecaman identiti mangsa - Polis Sarawak | 
Ad Banner

Ekonomi Malaysia Kekal Berdaya Tahan, Disokong Sektor Pembuatan Dan Pusat Data - S&P

KUALA LUMPUR, 9 Sept  (Bernama) -- Tinjauan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, disokong oleh aktiviti pembuatan yang kukuh, pelaburan infrastruktur yang mampan dan pembangunan pusat data yang berkembang pesat, menurut S&P Global Ratings.

Ahli Ekonomi Kanan untuk Asia Pasifik Vishrut Rana berkata negara itu terus mencatat momentum ekonomi yang kukuh, didorong sebahagian besarnya oleh peranannya dalam rantaian bekalan teknologi serantau.

“Kami mendapati prestasi ekonomi Malaysia agak kukuh, disokong oleh aktiviti pembuatan produk teknologi dan elektronik yang mantap.

Ad Banner

"Pelaburan yang berterusan dalam sektor itu dijangka menyokong pertumbuhan bagi tempoh sederhana selain membolehkan Malaysia meningkatkan kedudukannya dalam rantaian nilai," katanya dalam webinar S&P Global Ratings hari ini mengenai 'Malaysia Credit Outlook: Geopolitics, Data Centres, And The Future Of Credit'.

Vishrut berkata pelaburan awam dalam projek-projek infrastruktur berskala besar, terutamanya pembangunan rel dan pengangkutan turut menyumbang secara ketara kepada ekonomi Malaysia.

Beliau berkata pelaburan dalam pusat data yang semakin meningkat turut bertindak sebagai pemacu utama dan penting untuk pengembangan ekonomi sejak kebelakangan ini.

Ad Banner
Ad Banner

Vishrut berkata sektor pembuatan Malaysia juga mencatat prestasi lebih baik berbanding pertumbuhan keseluruhan ekonomi pada suku kedua, manakala output perlombongan yang kukuh terutamanya daripada eksport gas terus menyokong pendapatan negara.

Tekanan inflasi pula agak terkawal dengan inflasi harga pengguna keseluruhan kekal sekitar dua peratus, iaitu dalam julat yang dianggap selesa oleh bank pusat, katanya.

“Kami menyaksikan beberapa segmen tertentu mengalami inflasi, contohnya dalam segmen penjagaan diri dan produk berkaitan, tetapi tekanan inflasi secara meluas pada keseluruhannya tidak ketara.

"Keadaan ini dibantu oleh subsidi sedia ada untuk produk tenaga pengguna yang masih dikekalkan," kata beliau.

Pada masa hadapan, Vishrut berkata pertumbuhan Malaysia pada 2026 berkemungkinan melebihi unjuran awal S&P Global Ratings iaitu pada 4.9 peratus, disokong oleh prestasi separuh pertama tahun ini yang lebih kukuh daripada jangkaan.

Ahli ekonomi itu menjangkakan inflasi kekal stabil, sekali gus mengurangkan keperluan untuk pelarasan dasar monetari dalam masa terdekat.

Vishrut menambah ringgit juga kekal agak kukuh tanpa menjejaskan daya saing eksport dengan ketara, manakala keadaan pasaran buruh adalah stabil.

-- BERNAMA