Niaga Hadapan MSM Kekal Rendah Berikutan Penurunan Harga Minyak Mentah
Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari kedua berturut-turut pada Selasa susulan penyusutan harga minyak mentah.
Penganalisis Kanan Palm Oil Analytics Fastmarkets Dr Sathia Varqa berkata kelemahan pasaran minyak sayuran secara keseluruhan turut memberi tekanan kepada niaga hadapan MSM.
Beliau berkata meskipun penurunan pada Selasa didorong oleh harga minyak mentah yang lebih rendah serta kelemahan pasaran minyak sayuran, tumpuan pedagang kini kembali beralih kepada faktor asas yang mempengaruhi pasaran minyak sawit, berbanding faktor luaran.
"Sentimen pedagang kini kembali tertumpu kepada asas pasaran minyak sawit, dengan jangkaan pengeluaran akan meningkat dalam tempoh terdekat, manakala eksport juga dijangka bertambah baik," katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak Ogos 2026 susut RM11 kepada RM4,540 satu tan, September 2026 merosot RM25 kepada RM4,605 satu tan dan Oktober 2026 turun RM31 kepada RM4,642 satu tan.
Kontrak November 2026 berkurangan RM30 kepada RM4,675 satu tan, Disember 2026 susut RM27 kepada RM4,705 satu tan dan Januari 2027 turun RM23 kepada RM4,734 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 91,139 lot berbanding 62,982 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 305,445 kontrak daripada 306,703 kontrak sebelumnya.
Harga fizikal MSM bagi Ogos Selatan susut RM30 kepada RM4,530 satu tan.
-- BERNAMA