Kerajaan Pastikan Kelulusan Pusat Data Tidak Jejas Sekuriti Tenaga Negara - Sim

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Setiap permohonan projek pusat data baharu akan melalui proses penilaian yang ketat bagi memastikan bekalan elektrik dan air kepada isi rumah dan industri tempatan tidak terjejas, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin.

Beliau berkata melalui Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF), kerajaan akan menilai setiap permohonan berdasarkan keperluan pelaburan, kapasiti projek dan pelbagai aspek lain bagi memastikan keselamatan tenaga negara terus terpelihara.

“Kerajaan sentiasa berhati-hati apabila meluluskan sebarang permohonan berkaitan pusat data,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Ad Banner

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Susan Chemerai Anding yang ingin mengetahui sejauh mana kerajaan memastikan sekuriti tenaga negara dan keupayaan elektrik untuk isi rumah dan industri di Malaysia tidak dikompromi.

Menjawab soalan tambahan lain, Sim berkata melalui Kerangka Insentif Baharu (NIF), kerajaan akan mempertimbangkan antaranya pemberian insentif kepada syarikat multinasional (MNC) yang membawa masuk teknologi berimpak tinggi dan membangunkan vendor tempatan, khususnya di kawasan luar bandar dan kurang maju.

“Kerajaan turut mengadakan pelbagai program padanan antara MNC dan syarikat tempatan supaya PKS dapat menjadi pembekal kepada MNC selain menggalakkan penggunaan sekurang-kurangnya 40 peratus kandungan tempatan melalui Sijil Asal (Certificate of Origin) Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Ini sedikit sebanyak dapat membantu syarikat tempatan,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Low Kian Chuan mengenai langkah kerajaan untuk membantu PKS mendapat kesan limpahan daripada pelaburan syarikat multinasional dalam kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan bioteknologi.

-- BERNAMA