IHH Healthcare Alami Kerugian Susulan Lewat Dapat Kelulusan Ambil Alih Fortis
KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- IHH Healthcare Bhd mengalami kerugian berikutan kelewatan mendapatkan kelulusan yang diperlukan bagi tawaran pengambilalihan mandatori (MTO) untuk mengambil alih Fortis Healthcare Ltd (Fortis).
Hal ini susulan berlakunya pertikaian di antara syarikat farmaseutikal Jepun, Daiichi Sankyo Co Ltd dengan penghutang penghakimannya.
IHH Healthcare memaklumkan pihaknya tidak mempunyai kaitan dengan pertikaian berkenaan dan menegaskan pengambilalihan Fortis pada 2018 dilaksanakan melalui proses yang telus, dihebahkan secara meluas serta dikawal selia sepenuhnya.
“Urus niaga itu menerima semua kelulusan korporat, pemegang saham dan kawal selia yang diperlukan termasuk daripada Suruhanjaya Persaingan India (CCI) serta di bawah peraturan pengambilalihan Lembaga Sekuriti dan Bursa India (SEBI),” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pelaburan itu dibuat menerusi peruntukan keutamaan saham baharu yang diterbitkan bernilai INR4,000 crore serta tawaran tender mandatori kepada pemegang saham awam tanpa sebarang saham sekunder diperoleh daripada bekas pengasas dan tiada sebarang pembayaran dibuat kepada mereka.
IHH Healthcare menyatakan pelaburannya dalam Fortis dibuat pada ketika syarikat tersebut memerlukan permodalan semula dan hala tuju strategik.
Jelasnya Fortis sejak itu memperkukuh piawaian klinikal, tadbir urus dan operasinya.
“Kami berbangga dapat menyumbang kepada kemajuan sektor penjagaan kesihatan di India melalui pelaburan berterusan, pengurusan yang bertanggungjawab serta komitmen kukuh terhadap penjagaan pesakit dan kecemerlangan tadbir urus.
“Kami juga berbesar hati kerana proses tawaran pengambilalihan mandatori yang telah lama tertangguh menerima kelulusan yang diperlukan pada tahun lepas.
"Ini sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam penyempurnaan pengambilalihan Fortis yang berjaya,” menurutnya.
IHH Healthcare memaklumkan bahawa India kekal sebagai pasaran strategik utama bagi kumpulan itu dan komited untuk meningkatkan pelaburannya di negara berkenaan.
Semalam dilaporkan bahawa Mahkamah Daerah Tokyo menolak semua tuntutan yang dikemukakan oleh anak syarikat milik tidak langsung sepenuhnya IHH Healthcare iaitu Northern TK Venture Pte Ltd (NTK) terhadap Daiichi Sankyo selain memerintahkan NTK menanggung kos litigasi.
Anak syarikat itu menuntut pampasan sehingga 109.3 bilion rupee India (RM5.7 bilion) daripada Daiichi Sankyo berhubung pelaburannya dalam Fortis di India.
NTK memfailkan tuntutan pada Oktober 2023 dengan mendakwa syarikat farmaseutikal Jepun itu menyebabkan kerugian kepadanya dengan menghalangnya daripada meneruskan tawaran terbuka untuk memperoleh saham tambahan dalam rangkaian hospital India tersebut pada 2018.
-- BERNAMA