Vestland Raih Kontrak Pembangunan Bernilai RM410 Juta Di Jalan Ampang
KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Vestland Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya, Vestland Resources Sdn Bhd (VRSB), meraih kontrak daripada Golden Armani Sdn Bhd bagi kerja-kerja pembinaan bernilai RM410 juta di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Kontrak itu melibatkan pembangunan sebuah menara pejabat kecil pejabat rumah (SOHO) setinggi 69 tingkat dan sebuah menara pejabat kecil pejabat serbaguna (SOVO) setinggi 78 tingkat.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat pembinaan itu memaklumkan VRSB telah menerima surat lantikan bagi menjalankan kerja-kerja struktur utama, landskap, aras kemudahan, pencahayaan fasad, papan tanda dan kerja-kerja sampingan untuk pembangunan berkenaan.
“Skop kerja merangkumi reka bentuk, kelulusan, pembinaan, penyiapan, serta pengujian dan pentauliahan bagi kerja-kerja berkaitan.
“Kontrak itu akan bermula pada 15 Sept, 2026 dan dijadualkan siap pada 14 Sept, 2029,” tambahnya.
Menurut Vestland, kontrak berkenaan dijangka memberikan sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat serta anak-anak syarikatnya.
-- BERNAMA