Penggubalan RUU Infrastruktur Digital Di Peringkat Akhir Kajian - Kementerian Digital
KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kementerian Digital kini berada pada peringkat akhir kajian penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Infrastruktur Digital (pusat data).
Menurut kementerian itu, RUU ini bertujuan mewujudkan kerangka kawal selia yang lebih jelas dan komprehensif bagi memperkukuh perlindungan, ketahanan operasi dan tadbir urus pusat data, selaras dengan kepentingannya sebagai infrastruktur digital kritikal negara.
“Dari segi garis masa, kerajaan menyasarkan RUU ini untuk dimuktamadkan melalui proses penyelarasan dasar dan perundangan, seterusnya dibentangkan untuk pertimbangan dan perbahasan di Dewan Rakyat pada 2027, tertakluk kepada kelulusan kerajaan.
“Setelah diluluskan dan dikuatkuasakan, Kementerian Digital akan menyelaras pelaksanaan kerangka kawal selia tersebut bagi memastikan pematuhan terhadap standard keselamatan, daya tahan dan kesinambungan operasi yang ditetapkan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen hari ini.
Kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkenaan rancangan dan garis masa Kementerian Digital untuk memperkenal suatu rangka perundangan seperti RUU Infrastruktur Digital dalam memperkukuh keselamatan serta ketahanan infrastruktur digital.
Dalam perkembangan lain, kementerian itu berkata sehingga Oktober 2026, sebanyak 11 projek pusat data telah diluluskan di Kuala Lumpur, dengan dua projek sedang dalam pembinaan dan sembilan telah mula beroperasi.
Setiap permohonan pembangunan projek pusat data perlu mendapat kelulusan dari Pasukan Petugas Pusat Data, yang mana penilaian yang dilakukan merangkumi aspek ketersediaan dan kecukupan bekalan elektrik serta air.
“Sementara itu, berdasarkan rekod untuk tempoh Januari 2025 hingga Jun 2026, purata penggunaan air sebenar pusat data di Kuala Lumpur dan Selangor adalah sebanyak 2.4 juta liter sehari.
“Pada masa yang sama, rizab margin bekalan air di kedua-dua kawasan masih berada pada tahap yang baik dan mencukupi untuk menampung permintaan semasa,” tambahnya.
-- BERNAMA