Anwar, Putin Bertemu Di Luar Sidang Kemuncak BRICS
Daripada Saraswathi Muniappan
NEW DELHI, 11 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Rusia Vladimir Putin mengadakan pertemuan di luar Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di sini yang memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk memperkukuh hubungan antara Putrajaya dan Moscow serta bertukar-tukar pandangan mengenai perkara yang menjadi kepentingan bersama.
Ini merupakan pertemuan dua hala pertama Anwar sebaik tiba di sini untuk menyertai sidang kemuncak tersebut, memandangkan Malaysia kini berstatus sebagai Negara Rakan BRICS sejak 1 Januari 2025.
Pertemuan itu dijangka menekankan kepentingan mengekalkan hubungan peringkat tinggi antara kedua-dua negara, khususnya ketika Malaysia berusaha mengukuhkan hubungan ekonomi dan strategik dengan ekonomi-ekonomi baharu muncul yang utama.
Malaysia dan Rusia telah menjalin hubungan diplomatik sejak tahun 1967, dengan kerjasama merangkumi bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga, pendidikan, pelancongan, pertahanan serta bidang-bidang lain.
Kedua-dua negara juga telah menyatakan minat untuk memperluas hubungan ekonomi dua hala dan meneroka bidang kerjasama baharu.
Pertemuan itu juga berlangsung ketika Malaysia terus memperjuangkan sistem antarabangsa yang lebih inklusif dan seimbang, di samping memperkukuh penglibatannya dengan negara-negara Selatan Globa menerusi platform seperti BRICS dan mekanisme pelbagai hala yang lain.
Pertemuan dua hala Anwar dengan Putin dijangka memperkasakan lagi komitmen kedua-dua negara terhadap dialog yang membina, kerjasama lebih erat serta hubungan antara rakyat yang lebih kukuh, sekali gus menyumbang kepada objektif dasar luar dan ekonomi Malaysia lebih meluas.
Pada 2024, jumlah perdagangan ASEAN-Rusia mencecah US$18.1 bilion, manakala pelaburan langsung asing Rusia di ASEAN berjumlah RM367.90 juta (US$92.97 juta).
Bagi Malaysia, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar negara dalam kalangan negara Eropah pada 2025, dengan jumlah perdagangan bernilai RM8.72 bilion (US$2.04 bilion).
Eksport utama Malaysia ke Rusia merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan komponen, serta makanan diproses; manakala import utama terdiri daripada produk petroleum, mineral, bahan kimia dan produk berasaskan kimia.
-- BERNAMA