CIMB Islamic Bank Dinobat Bank Islam Terbaik Dunia Di Euromoney Islamic Finance Awards 2026
KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- CIMB Islamic Bank Bhd mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Bank Islam Terbaik Dunia pada Anugerah Euromoney Islamic Finance 2026, sekali gus menjadi bank Malaysia pertama menerima pengiktirafan global berprestij itu sejak anugerah berkenaan diperkenalkan.
Dalam satu kenyataan, bank itu berkata pengiktirafan tersebut mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pemikiran dalam kewangan Islam, di samping menyerlahkan peranan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa.
"Dengan mengintegrasikan perbankan Islam ke dalam ekosistem digital, keupayaan pasaran modal serta pengalaman pelanggan secara menyeluruh, CIMB Islamic berjaya membangunkan model operasi yang unik, sekali gus menawarkan pengalaman pelanggan yang konsisten dan menyeluruh, di samping menetapkan penanda aras baharu dalam inovasi serta kebolehcapaian perbankan Islam," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank merangkap Perbankan Islam Kumpulan Ahmad Shahriman Mohamad Shariff berkata pencapaian itu mencerminkan pelaksanaan berjaya strategi Forward30, dengan perbankan Islam menjadi antara pemacu utama aspirasi CIMB Group untuk muncul sebagai bank pilihan utama menjelang 2030.
"Sebagai bank Malaysia pertama yang menerima pengiktirafan ini sejak anugerah berkenaan diperkenalkan, ia merupakan satu pencapaian membanggakan bukan sahaja kepada CIMB Islamic, malah turut mengiktiraf kejayaan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam.
"Berpandukan pendekatan 'Islamic first', kami mentransformasikan perbankan Islam sebagai penyelesaian yang bersepadu, mudah diakses dan inklusif bagi memperkasa individu, perniagaan serta komuniti mencapai kemajuan kewangan yang mampan," katanya.
Beliau berkata CIMB Islamic melihat potensi besar untuk kewangan Islam memainkan peranan yang lebih signifikan dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif di seluruh ASEAN.
"Kami kekal komited memajukan industri ini menerusi inovasi berterusan, pembiayaan yang bertanggungjawab serta penyelesaian yang mewujudkan nilai jangka panjang kepada pelanggan, komuniti dan ekonomi secara keseluruhan, selaras dengan tujuan kami untuk Advancing Customers and Society," katanya.
-- BERNAMA