BERITA TERKINI   Kapal penumpang Indonesia bawa 243 orang dilapor hilang selepas terputus hubungan di Laut Jawa awal Ahad - laporan | 

Malaysia Kekal Tegas Dapatkan Semula Aset 1MDB, Ambil Maklum Tuntutan RM4.2 Bilion Terhadap DBS

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Kerajaan hari ini menegaskan akan terus komited dalam usaha mendapatkan semula aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerusi langkah seperti kerjasama dan proses perundangan di beberapa negara, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Usaha itu termasuk di negara seperti Amerika Syarikat, Switzerland, United Kingdom dan Singapura.

Berikutan itu dalam kenyataannya, MOF menyatakan kerajaan mengambil maklum mengenai tindakan tuntutan ganti rugi kira-kira RM4.2 bilion yang difailkan oleh empat syarikat terhadap DBS Bank Ltd di Mahkamah Tinggi Singapura.

Ad Banner

Empat syarikat itu yang sedang dalam proses pembubaran di bawah pelikuidasi yang dilantik mahkamah, menuntut ganti rugi berhubung dana yang didakwa diseleweng daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Menurut Pasukan Petugas Pemulihan Aset 1MDB, tuntutan itu melibatkan lima akaun DBS yang dibuka pada 2013 oleh empat syarikat berkenaan.

Dokumen pembukaan akaun menamakan Tan Kim Loong, yang juga dikenali sebagai Eric Tan, sebagai pemilik benefisial tunggal syarikat-syarikat tersebut dan penandatangan bagi kelima-lima akaun berkenaan.

Ad Banner
Ad Banner

Akaun itu didakwa digunakan untuk menyalurkan lebih US$1 bilion dana 1MDB dan SRC yang diseleweng antara 2013 dengan 2014.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha pemulihan ini bukan semata-mata soal menuntut kembali wang yang hilang.

“Amanah, keyakinan terhadap institusi serta martabat Malaysia di mata rakan-rakan antarabangsa turut tergadai dalam episod hitam negara ini,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam kenyataan itu.

Perdana Menteri turut menegaskan Kerajaan MADANI berikhtiar untuk memperteguh tatakelola dan kebertanggungjawaban institusi bagi memastikan pengkhianatan sebesar itu tidak lagi berulang.

Selain itu, MOF memaklumkan berdasarkan angka terkini, jumlah keseluruhan obligasi 1MDB yang ditanggung kerajaan berjumlah RM51.4 bilion, merangkumi RM42.5 bilion yang telah dibayar kerajaan serta baki hutang RM8.9 bilion.

“Sebanyak RM31.3 bilion diterima sebagai hasil pemulihan aset, menjadikan baki kerugian yang bakal ditanggung kerajaan akibat skandal 1MDB mencecah RM20 bilion,” maklum kementerian itu.

Menurut MOF, antara pemulihan terbaharu adalah penyelesaian dicapai kerajaan dengan JPMorganChase pada Ogos 2025 yang melibatkan sumbangan RM1.4 bilion ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset Malaysia.

“Dana yang diperoleh semula melalui akaun itu digunakan untuk membayar hutang dan memenuhi tanggungan kewangan sedia ada berkaitan 1MDB dan SRC, sekali gus mengurangkan beban terhadap kewangan awam,” maklum MOF.

-- BERNAMA