KDNK Nominal Malaysia Capai RM2.03 Trilion Pada 2025, Pampasan Pekerja Sumbang 33.9 Peratus - DOSM
PUTRAJAYA, 29 Julai (Bernama) -- Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal Malaysia meningkat 4.8 peratus kepada RM2.03 trilion pada 2025, dengan Pampasan Pekerja (PP) menyumbang sebanyak 33.9 peratus daripada KDNK berbanding 33.6 peratus pada 2024.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata PP meningkat sebanyak 5.8 peratus, mengatasi kadar pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan, sekali gus meningkatkan sumbangan pampasan pekerja dalam KDNK.
"Lebihan Kendalian Kasar (LKK) yang menyumbang 62.0 peratus kepada KDNK mencatat pertumbuhan 2.1 peratus, manakala cukai bersih melonjak 53.7 peratus, sekali gus meningkatkan sumbangannya kepada 4.1 peratus daripada KDNK," menurut jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Jabatan itu berkata peningkatan PP pada 2025 seiring dengan prestasi pasaran buruh yang bertambah baik, disokong pertumbuhan guna tenaga sebanyak 1.3 peratus serta peningkatan produktiviti buruh bagi setiap pekerja sebanyak 4.0 peratus.
Di samping itu, penyelarasan gaji minimum kepada RM1,700 serta pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) turut menyumbang kepada pampasan pekerja yang lebih tinggi pada tahun tersebut.
Mengikut sektor, PP dalam sektor perkhidmatan berkembang 6.2 peratus, dengan peningkatan dicatatkan dalam semua subsektor terutamanya perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan.
Sektor pembinaan mencatatkan peningkatan 11.4 peratus, diikuti oleh sektor pembuatan dengan pertumbuhan 2.5 peratus, disokong terutamanya oleh aktiviti produk mineral bukan logam, logam asas serta produk logam yang direka.
Sementara itu, PP dalam sektor pertanian, perlombongan dan pengkuarian masing-masing bertumbuh 6.5 peratus dan 3.2 peratus.
Sektor pembuatan dan pembinaan masing-masing menyumbang 21.8 peratus dan 9.5 peratus, manakala sektor pertanian serta perlombongan dan pengkuarian masing-masing menyumbang 3.9 peratus dan 2.3 peratus.
Pertumbuhan LKK pula didorong terutamanya oleh sektor perkhidmatan yang berkembang 5.2 peratus, diikuti pertanian (5.0 peratus) dan pembinaan (2.1 peratus).
Bagaimanapun, LKK bagi sektor pembuatan serta perlombongan dan pengkuarian masing-masing menguncup 0.5 peratus dan 11.0 peratus.
DOSM berkata cukai bersih berjumlah RM83.5 bilion pada 2025, didorong terutamanya oleh peningkatan kutipan cukai dan pengurangan subsidi.
"Cukai ke atas pengeluaran dan import meningkat 12.9 peratus, disokong kutipan cukai perkhidmatan serta duti import yang lebih tinggi, manakala subsidi berkurangan 36.5 peratus susulan pelaksanaan langkah rasionalisasi subsidi bahan api," menurut jabatan itu.
-- BERNAMA