Kerajaan Peroleh Rm5 Bilion Susulan Langkah Kawalan Perbelanjaan - Liew
KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Kerajaan memperoleh hampir RM5 bilion jumlah sekatan sehingga 14 Julai 2026 susulan pelaksanaan langkah kawalan perbelanjaan dalam tempoh separuh pertama 2026, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.
Beliau berkata Kementerian Kewangan (MOF) pada 29 April 2026 mengeluarkan arahan pelarasan peruntukan merentasi semua kementerian dan agensi kerajaan sebelum mengadakan sesi libat urus bagi menjelaskan kriteria kawalan perbelanjaan yang perlu dilaksanakan susulan krisis rantaian bekalan global.
Menurutnya langkah itu telah berjaya meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan awam tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kritikal kepada rakyat serta kestabilan ekonomi negara.
“Hasil intervensi awal yang telah dilaksanakan kerajaan, Malaysia kekal stabil walaupun berdepan krisis rantaian bekalan global,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Hussin Ismail mengenai penjimatan bajet semua kementerian, jumlah peruntukan yang dipotong serta kajian impak yang dilaksanakan ke atas pemotongan itu.
Mengulas lanjut, Liew berkata kementerian dan agensi diberi ruang untuk menyusun semula perbelanjaan masing-masing berdasarkan keutamaan dan keperluan semasa bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.
Pada masa yang sama, MOF sentiasa terbuka untuk meneliti dan membincangkan sebarang keperluan mendesak yang dikemukakan kementerian dan agensi, tertakluk kepada kedudukan fiskal kerajaan serta keutamaan perbelanjaan semasa.
Beliau berkata pelarasan perbelanjaan hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal, mengehadkan perjalanan bertugas rasmi dan menangguhkan pewujudan perjawatan baharu serta pengambilan penjawat awam baharu.
“MOF komited dalam memastikan pelarasan perbelanjaan ini dilaksanakan tanpa menjejaskan perkhidmatan kritikal terutama perkhidmatan kesihatan, subsidi, bantuan dan insentif kepada rakyat, bantuan kebajikan masyarakat, insentif kepada sektor pertanian, bantuan persekolahan dan lain-lain bantuan yang telah diberi komitmen oleh kerajaan,” katanya.
-- BERNAMA