Megah Port Lancar Perkhidmatan Marin Dengan Kapal Tunda Bernilai RM23 Juta
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 29 Julai (Bernama) -- Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) hari ini secara rasminya memulakan perkhidmatan marinnya di Pelabuhan Labuan, disokong oleh pengambilalihan empat kapal tunda bernilai RM23 juta.
Pengarah Urusannya, Datuk Seri Patrick Tiong berkata pengambilalihan itu menunjukkan komitmen kukuh syarikat untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai pengendali Pelabuhan Labuan.
Ia sekali gus meningkatkan keselamatan, kecekapan dan kebolehpercayaan pergerakan kapal dalam kawasan pelabuhan yang terhad.
“Perolehan empat buah kapal tunda ini merupakan pelaburan strategik bagi menyokong pelaksanaan perkhidmatan marin di Pelabuhan Labuan.
“Ia menunjukkan komitmen kami untuk menyediakan aset, tenaga kerja dan keupayaan operasi yang diperlukan bagi melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada kami,” katanya pada majlis pelancaran kapal tunda dan perkhidmatan marin di Jeti Dermaga Merdeka di sini hari ini.
Tiong berkata perkhidmatan marin itu dilaksanakan mengikut peruntukan perkhidmatan marin di bawah Perjanjian Penerusan Operasi, Kemudahan dan Pengurusan yang baharu dimeterai antara MPM dan Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA).
Beliau berkata peruntukan perkhidmatan marin merupakan tanggungjawab mandatori yang dijalankan oleh MPM di bawah perjanjian tersebut.
“Kami berbesar hati untuk menerima dan menjalankan tanggungjawab ini. Pelaburan ini membuktikan kesungguhan kami untuk memastikan operasi pelabuhan dilaksanakan dengan cara yang lebih selamat, lebih cekap, teratur dan mampan,” katanya.
Tambah Tiong, kapal tunda itu akan membantu kapal untuk masuk dan keluar dari pelabuhan, termasuk ketika operasi berlabuh serta membuka sandar dan belayar di kawasan perairan yang terhad.
Kapal terlibat juga akan digunakan untuk menunda, menarik dan menolak kapal, mengawal pergerakan kapal ketika cuaca buruk atau keadaan semasa (laut), mengiringi kapal dalam kawasan had pelabuhan serta membantu kapal yang mengalami kegagalan mekanikal, kehilangan kuasa atau kesukaran pengendalian.
Beliau berkata kapal tunda itu akan meningkatkan tahap kesiapsiagaan kecemasan MPM untuk menyokong operasi penyelamat dan pemindahan serta menyediakan maklum balas awal terhadap insiden maritim.
Situasi Kecemasan
“Dalam keadaan kecemasan, kapal tunda boleh digerakkan untuk menyokong bantuan pemadaman, memindahkan kapal dari kawasan berisiko tinggi serta membantu agensi penguatkuasaan dan keselamatan maritim dalam mengawal keadaan.
“Keupayaan ini penting dalam meminimumkan risiko kepada nyawa, aset, alam sekitar dan kesinambungan operasi pelabuhan,” katanya.
Perkhidmatan marin meliputi beberapa kawasan operasi dan terminal utama dalam had Pelabuhan Labuan, termasuk Terminal DG, Terminal Petronas Chemicals Methanol Labuan, Terminal Bahan Api Pangkalan Bekalan Asia dan Terminal Shell Timur.
Tiong menambah bahawa kerjasama rapat antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, agensi penguatkuasaan dan keselamatan lain adalah penting untuk memastikan pergerakan kapal, operasi penundaan serta aktiviti marin lain mematuhi undang-undang maritim dan keperluan keselamatan.
Beliau berkata MPM kekal terbuka kepada sebarang panduan, maklum balas yang membina dan cadangan daripada pihak berkuasa berkaitan untuk terus menambah baik operasi marinnya.
“Komitmen kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan marin secara profesional, bertanggungjawab dan mematuhi sepenuhnya undang-undang demi kepentingan keselamatan pelabuhan, pemain industri dan komuniti maritim,” katanya.
Dalam pada itu, pelancaran itu turut mempamerkan demonstrasi tindak balas kecemasan yang menampilkan keupayaan kapal tunda dalam memberikan tindak balas awal terhadap insiden kebakaran di perairan Labuan.
-- BERNAMA