BERITA TERKINI   75 peratus syor RCI TH berjaya dilaksanakan - Fahmi | Laporan RCI Tabung Haji dibuat pengelasan semula untuk pendedahan awam dan akan dibahaskan di Parlimen - Fahmi | PRN NS: PH tidak bertolerasi sebarang bentuk sogokan atau rasuah - Fahmi | PRN NS: PH perhebat gerak kerja kempen, termasuk kandungan TikTok menjelang hari mengundi Sabtu ini - Fahmi | Liputan berita berkaitan PRN NS daripada Bernama, media lain secara amnya amat baik - Fahmi | 

CAAM Pertingkat Persiapan Menjelang Kembalinya F1 Ke Sepang

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menyeru semua pihak berkepentingan berkaitan termasuk operator lapangan terbang, syarikat penerbangan, operator pengendalian darat serta agensi kerajaan berkaitan supaya bekerjasama erat bagi memastikan pengurusan acara Formula 1 (F1) Grand Prix Gulf Air Bahrain yang akan kembali beraksi di Malaysia berjalan lancar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata sumber, tenaga kerja dan persediaan luar jangka yang diperlukan perlu disediakan bagi menyokong peningkatan jumlah penumpang serta operasi penerbangan yang dijangka bertambah sepanjang acara itu.

Ad Banner

Beliau berkata pengurusan lonjakan trafik udara yang dijangka berlaku memerlukan pendekatan bersepadu dalam keseluruhan ekosistem lapangan terbang.

“Sehubungan itu, keutamaan CAAM adalah untuk memastikan peningkatan trafik udara dan jumlah penumpang diuruskan dengan selamat, cekap serta dengan gangguan minimum terhadap operasi penerbangan biasa dan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan udara,” katanya kepada Bernama hari ini.

Norazman berkata Malaysia mempunyai pengalaman yang luas dalam menganjurkan acara F1.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sehubungan itu, katanya syarikat penerbangan, operator penerbangan sewa khas dan pihak berkepentingan industri penerbangan lain sudah tidak asing lagi dengan proses operasi serta peraturan berkaitan.

“Barisan operator ini dijangka merancang jadual penerbangan, keperluan kapasiti dan urusan operasi lain dengan lebih awal,” katanya.

Beliau berkata CAAM menjangkakan peningkatan penerbangan berjadual, penerbangan sewa khas dan penerbangan perniagaan sepanjang akhir minggu perlumbaan F1, terutama melibatkan pasukan perlumbaan, pegawai, tetamu korporat, wakil media serta penonton antarabangsa.

Menurutnya, sehubungan itu, CAAM bersedia untuk memudahkan proses kawal selia dan operasi yang diperlukan bagi menyokong pergerakan tambahan trafik udara dengan lancar.

“Bagaimanapun, persediaan kami bukan sahaja terhad untuk menguruskan peningkatan trafik udara yang dijangka berlaku,” kata Norazman.

Sebagai badan pengawal selia penerbangan awam negara, beliau berkata CAAM juga perlu memastikan operator lapangan terbang dan penyedia perkhidmatan penerbangan mempunyai persediaan mencukupi untuk menguruskan jumlah penumpang serta pesawat yang lebih tinggi dengan selamat dan cekap.

“Ini termasuk memastikan pengalaman perjalanan penumpang yang lancar daripada awal hingga akhir, bermula daripada kawasan turun penumpang sehingga ke pintu pelepasan bagi penumpang yang berlepas, dan daripada pintu ketibaan hingga ke kawasan keluar lapangan terbang bagi penumpang yang tiba,” katanya.

Menurutnya operator lapangan terbang perlu memastikan kapasiti dan tahap kesiapsiagaan yang mencukupi dalam semua aspek termasuk proses daftar masuk penumpang, pemeriksaan keselamatan, pengendalian bagasi, proses menaiki pesawat dan ketibaan, tempat parkir pesawat serta pengendalian darat.

Selain itu, aspek kebersihan, fungsi dan keadaan keseluruhan kemudahan lapangan terbang juga perlu diberikan perhatian.

 

 

Kembalinya F1 Dijangka Rangsang Sektor Penerbangan, Pelancongan

 

Malaysia bakal menjadi tuan rumah F1 Grand Prix Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang pada 2 hingga 4 Oktober ini, selepas negara ini dipilih sebagai tuan rumah pengganti susulan perlumbaan di di Bahrain ditangguhkan akibat konflik di Asia Barat.

Norazman berkata penganjuran perlumbaan itu di Malaysia amat penting kerana meletakkan negara ini sebagai tumpuan dunia selain membuktikan kemampuan Malaysia untuk menyokong penganjuran acara antarabangsa berskala besar.

Beliau berkata acara itu berpotensi merangsang permintaan perjalanan antarabangsa, meningkatkan aliran penumpang serta memberi peluang kepada syarikat penerbangan untuk mengoptimumkan kapasiti dan rangkaian perkhidmatan.

“Ia juga menunjukkan kesediaan lapangan terbang Malaysia, infrastruktur navigasi udara serta keseluruhan ekosistem penerbangan dalam menyokong operasi yang kompleks, memerlukan ketepatan masa dan melibatkan jumlah trafik yang tinggi,” katanya.

Acara itu memberi  manfaat bukan sahaja kepada sektor penerbangan, malah peningkatan jumlah ketibaan pelawat boleh memberi kesan limpahan positif kepada sektor lain seperti pelancongan, hospitaliti, pengangkutan, peruncitan serta industri sokongan lain.

Selain itu, acara ini mengukuhkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi bagi urusan perniagaan dan acara antarabangsa utama.

“Bagi CAAM, keutamaan kami adalah menyokong objektif nasional yang lebih luas ini dengan menyediakan persekitaran penerbangan yang selamat, cekap dan memudahkan pergerakan,” katanya.

“Kemampuan Malaysia mengendalikan peningkatan permintaan dengan baik akan terus mengukuhkan lagi keyakinan terhadap negara ini sebagai hab penerbangan serantau yang mempunyai hubungan rangkaian yang baik dan berkemampuan,” katanya.

F1 yang akan kembali diadakan di Malaysia dijangka memberi rangsangan yang ketara kepada sektor penerbangan negara, khususnya melalui peningkatan trafik penumpang antarabangsa dan pergerakan pesawat sebelum serta selepas acara berkenaan.

“Ini mungkin mendorong syarikat penerbangan mengoptimumkan kapasiti bagi laluan sedia ada atau memperkenalkan perkhidmatan tambahan, tertakluk kepada permintaan komersial serta kelulusan kawal selia yang diperlukan,” katanya.

Memandangkan SIC terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lapangan terbang itu dijangka menjadi pintu masuk utama bagi ketibaan pelawat antarabangsa.

Norazman berkata lapangan terbang lain juga berpotensi meraih manfaat daripada perjalanan domestik seterusnya serta pergerakan pelawat yang lebih meluas di seluruh Malaysia.

-- BERNAMA