BERITA TERKINI   Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 6.3 peratus atau RM182.4 bilion kepada RM3.1 trilion tahun ke tahun pada 2025, disokong pertumbuhan eksport (6.6 peratus) dan import (6.0 peratus) - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 6.3 peratus atau RM182.4 bilion kepada RM3.1 trilion tahun ke tahun, disokong pertumbuhan eksport (6.6 peratus) dan import (6.0 peratus) - DOSM | Perdagangan Malaysia 2025 catat prestasi tertinggi melepasi nilai RM3 trilion - DOSM | Darjah Seri Utama, Dato' Setia Negeri Sembilan kepada Tan Sri Rais Yatim ditarik balik -- Pendaftar Darjah NS | Kabinet setuju lepas hak kerajaan persekutuan ke atas tapak Rascom kepada Kerajaan Negeri Sarawak - NRES | 

BNM Kenakan Penalti Monetari Pentadbiran Terhadap Pacific Insurance, Wang S Enterprise

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan penalti monetari pentadbiran (AMP), masing-masing kepada The Pacific Insurance Bhd (TPIB) berikutan ketidakpatuhan berhubung Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Wang S Enterprise Sdn Bhd yang tidak mematuhi Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011.

Menurut BNM dalam kenyataan hari ini, TPIB dikenakan penalti sebanyak RM336,000 pada 28 Mei 2026 berikutan kegagalan mematuhi keperluan untuk mempunyai ketua pegawai eksekutif  (CEO) yang diluluskan pada setiap masa.

“TPIB gagal mematuhi keperluan ini kerana jawatan CEO syarikat tersebut kosong antara 21 Nov 2024 hingga 23 Mac 2026,” menurutnya.

Ad Banner

Menurut BNM, ketidakpatuhan ini berpunca daripada kelemahan perancangan penggantian TPIB yang menyebabkan syarikat tersebut gagal mengenal pasti dan mengemukakan permohonan calon CEO yang sesuai untuk kelulusan BNM dalam tempoh yang sewajarnya.

“Bagaimanapun, sepanjang tempoh kekosongan jawatan itu, TPIB telah melaksanakan langkah kawalan bagi memastikan tiada gangguan yang ketara terhadap operasi hariannya,” menurut bank pusat.

BNM memaklumkan bahawa langkah ini termasuk pelantikan pegawai yang dilantik serta pengawasan berterusan oleh lembaga pengarah.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

TPIB telah melantik seorang CEO berkuat kuasa pada 24 Mac 2026, dengan kelulusan BNM dan membayar penalti RM336,000 pada 9 Jun.

Sementara itu, bank pusat turut mengenakan AMP sebanyak RM16,000 terhadap Wang S. Enterprise, pemegang lesen perniagaan perkhidmatan wang (MSB) berikutan kegagalan mengemukakan maklumat statistik kepada BNM dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Pengemukaan maklumat statistik yang tepat pada masanya adalah penting untuk pemantauan risiko, penerbitan statistik dan perumusan dasar oleh BNM,” menurutnya.

BNM memaklumkan bilangan ketidakpatuhan dan rekod pematuhan terdahulu oleh pemegang lesen MSB telah diambil kira dalam menentukan jumlah AMP.

“Wang S Enterprise membayar AMP yang dikenakan oleh BNM dan telah mengambil langkah pemulihan untuk membetulkan kekurangan yang dikenal pasti, termasuk mengemukakan laporan yang tertunggak,” menurutnya.

BNM memaklumkan kedua-dua tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.

-- BERNAMA